Rabu, 31 Mei 2017 | 7:03am
 PARTI Konservatif pimpinan Perdana Menteri Britain, Theresa May. - Foto REUTERS
PARTI Konservatif pimpinan Perdana Menteri Britain, Theresa May. - Foto REUTERS

Konservatif diramal gagal peroleh majoriti

LONDON: Parti Konservatif pimpinan Perdana Menteri Britain, Theresa May, berisiko hilang majoriti kerusi di Parlimen pada pilihan raya 8 Jun ini, lapor akhbar The Times, memetik penyelidikan dilakukan firma tinjauan pendatang, YouGov.

Dalam perbezaan ketara dengan siri tinjauan pendapat yang menunjukkan Konservatif akan menambah majoriti, kawasan demi kawasan yang ditinjau YouGov mendapati ia mungkin kehilangan 20 daripada 330 kerusi yang dipegang dan pembangkang, Parti Buruh akan memperoleh hampir 30 kerusi.

Ia akan menyebabkan Konservatif kekurangan 16 kerusi daripada keseluruhan majoriti 326 yang diperlukan untuk mentadbir tanpa sokongan parti lain, menurut akhbar itu.

May mengejutkan hampir semua orang pada April apabila mengadakan pilihan raya awal, berkata beliau mahu mengukuhkan kedudukan bagi berunding dengan negara anggota Kesatuan Eropah lain mengenai pengunduran Britain daripada blok itu.

Kegagalan memperoleh majoriti 17 lagi kerusi yang dimenangi Konservatif pada pilihan raya 2015 mengatasi Buruh yang diterajui tokoh berhaluan kiri radikal, Jeremy Corbyn, akan menjadi tamparan hebat kepada May ketika beliau berhadapan proses Brexit.

Keseluruhan tujuh tinjauan yang dilakukan sejak minggu lalu menunjukkan Buruh semakin mendekatkan jurang dengan Konservatif, dengan sebahagiannya menunjukkan May mungkin tidak akan menang besar seperti diramalkan sebulan lalu.

Perbezaan juran semakin ketara selepas May menetapkan pelan pada 18 Mei lalu untuk menjadikan warga tua membayar jumlah lebih besar kos penjagaan mereka, cadangan yang digelar 'cukai nyanyuk' oleh pembangkang. - Reuters

Berita Harian X