Jumaat, 23 Jun 2017 | 11:05pm
WILAIWAN Mee-Nguen menghasilkan pemanis mulut menyerupai bentuk dan warna seperti najis anjing. - Foto AFP
WILAIWAN Mee-Nguen menghasilkan pemanis mulut menyerupai bentuk dan warna seperti najis anjing. - Foto AFP

Manisan 'najis anjing' popular di Thailand

BANGKOK: Ia mungkin meloyakan bagi sesetengah pihak, namun sebuah perniagaan pencuci mulut di Thailand, dibanjiri tempahan selepas menghasilkan pemanis mulut menyerupai bentuk dan warna seperti najis anjing.

"Ia pelik, tiada orang lain membuat bentuk najis. Ramai yang menyukainya," kata Wilaiwan Mee-Nguen dari kedai kecil miliknya di ibu kota ini.

Beliau menghasilkan manisan 'luar biasa' itu menggunakan campuran santan, lemak haiwan (gelatin) dan pewarna makanan.

Pekerja pejabat berusia 30 tahun itu menghabiskan masa hujung minggu dengan perniagaan sampingan, menerokai pelbagai acuan untuk pemanis mulut sebelum menemui menu menguntungkan beberapa bulan lalu.

Ia semua bermula selepas seorang pelanggan meminta 'bentuk luar biasa' dan Wilaiwan mengambil keputusan melakukan sesuatu yang menarik perhatian.

"Mereka sering melihat bentuk bunga, jadi ini dianggap satu jenaka," katanya.

Manisan 'najis anjing' menjadi menu paling popularnya dan peniaga berani itu menjual 1,000 manisan dalam tempoh sebulan, pada harga AS$1 (RM4.29) sebiji.

Wilaiwan menjangka perniagaannya akan maju berikutan permintaan temu bual daripada pelbagai rangkaian televisyen Thailand. - AFP

Berita Harian X