Rabu, 8 Oktober 2014 | 10:31am
Beberapa umat Islam kelihatan memasuki salah sebuah masjid di Australia iaitu Masjid Gallipoli di Sydney. Australia hari ini mengumumkan bahawa pendakwah radikal dihalang negara berkenaan. - Foto REUTERS
Beberapa umat Islam kelihatan memasuki salah sebuah masjid di Australia iaitu Masjid Gallipoli di Sydney. Australia hari ini mengumumkan bahawa pendakwah radikal dihalang negara berkenaan. - Foto REUTERS

Pendakwah Islam radikal dihalang masuk ke Australia

SYDNEY: Perdana Menteri Australia, Tony Abbott mengarahkan supaya tindakan diambil bagi menghalang pendakwah Islam radikal daripada memasuki negara berkenaan.

Beliau berkata, pendakwah yang meniupkan semangat kebencian akan diberikan 'kad merah' dalam proses pengeluaran visa.

Sistem baharu lebih ketat itu, menurut Perdana Menteri itu bagaimanapun tidak memerlukan penggubalan undang-undang baharu.

Tindakan itu diambil berikutan kenyataan yang dibuat oleh sebuah pertubuhan antarabangsa, Hizb ut-Tahrir di Sydney minggu lalu bahawa matlamatnya adalah untuk menubuhkan sebuah negara Islam di seluruh Australia.

"Kami ingin pastikan pendakwah yang meniupkan semangat kebencian tidak datang ke negara ini untuk menyampaikan mesej mereka yang memecahbelahkan," kata Abbott kepada pemberita di Sydney.

Australia diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi sebarang serangan oleh kumpulan Muslim radikal atau militan dari negaranya sendiri yang kembali dari peperangan di Asia Barat.

Negara itu juga meningkatkan tahap ancamannya kepada 'tinggi' dan melakukan beberapa serbuan berprofil tinggi di bandar utama.

Pihak berkuasa percaya kira-kira 160 rakyat Australia terbabit dalam peperangan di Asia Barat atau bergiat aktif menyokong peperangan di negara berkenaan.

Sekurang-kurangnya 20 dipercayai kembali ke Australia dan dikatakan memberi ancaman keselamatan. - REUTERS

Berita Harian X