Rabu, 8 Oktober 2014 | 10:53am
Naib Presiden Amerika Syarikat Joe Biden. - Foto AP
Naib Presiden Amerika Syarikat Joe Biden. - Foto AP

Biden akui tersilap tuduh Arab Saudi biayai IS

WASHINGTON: Naib Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden mengunjungi Menteri Luar Arab Saudi, Putera Saud Al-Faisal dan mengakui kesilapannya menuduh Arab Saudi dan sekutu utamanya membiayai kumpulan militan Negara Islam (IS).

Kenyataan Rumah Putih hari ini berkata, Biden sebelum ini juga sudah memohon maaf kepada pemimpin dua negara lain, Turki dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Kedua-dua negara berkenaan dan Arab Saudi kini rakan utama dalam pakatan diketuai Amerika Syarikat dalam serangan terhadap IS di Syria dan Iraq.

Kenyataan itu menimbulkan keresahan di Asia Barat dan menimbulkan persoalan di Washington sama ada ia akan menjejaskan kesediaan sekutu Amerika itu yang menyatakan persetujuan mereka untuk melawan kumpulan jihad terbabit.

Pegawai Rumah Putih berkata, Naib Presiden Amerika Syarikat itu mengucapkan penghargaan kepada Putera Saud di atas kerjasama Arab Saudi dalam pakatan antarabangsa itu.

Pegawai berkenaan menambah, Biden juga menjelaskan kenyataannya mengenai bagaimana konflik itu mula berlaku di Syria.

Kedua-dua pihak kini bersetuju bahawa isu itu sudah ditutup.

Dalam komennya, Biden merujuk kepada Turki dan Presiden Recep Tayyip Erdogan serta rakyat UAE sebagai rakan.

Namun katanya, keazaman mereka untuk menumpaskan Presiden Bashar al-Assad menyebabkan mereka sanggup membekalkan ratusan ribu tan senjata kepada sesiapa saja yang boleh melawan pemimpin Syria itu.

"Cuma apa yang berlaku ialah senjata berkenaan dibekalkan kepada al-Nusra dan al-Qaeda dan elemen pengganas jihad dari beberapa negara lain di dunia," kata Biden. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X