X
Ahad, 12 Oktober 2014 | 1:02pm

Visakhapatnam dibadai ribut Hudhud

VISAKHAPATNAM: Ribut Hudhud membadai lagi dengan kelajuan angin 195 kilometer sejam, mengakibatkan kemusnahan teruk di timur India pagi ini.

Agensi bantuan bencana India mengaturkan perpindahan lebih 150,000 orang semalam bagi mengurangkan jumlah mangsa Hudhud itu - yang sama kuatnya dengan ribut Phailin yang melanda kawasan sama setahun lalu.

Di sekitar bandaraya Visakhapatnam - yang dikenali oleh penduduk tempatan sebagai Vizag, angin kuat mengakibatkan kerosakan teruk dan memutuskan bekalan elektrik.

"Beratus-ratus pokok tumbang dan bekalan kuasa elektrik terputus," kata K Hymavathi, Pesuruhjaya Khas Pengurusan Bencana Negeri Andhra Pradesh.

Jalan raya di Vizag yang sibuk semalam hari ini senyap sunyi ketika angin kuat membadai bandar raya itu, dan memecahkan tingkap dan memusnahkan bangunan. dengan ketiadaan kuasa elektrik, penduduk terpaksa menggunakan alat jana kuasa.

Pelabuhan Vizag menghentikan operasi malam tadi, dengan 17 kapal di pelabuhan digerakkan ke kawasan luar pesisiran pantai di mana risikonya tidak begitu tinggi di laut dalam.

Jabatan Meteorologi India menyifatkan Hudhud sebagai ribut siklon teruk yang mampu membadai sehingga 195 kilometer angin sejam dan mengakibatkan hujan sebanyak 24.5 sentimeter di beberapa tempat.

Pada jam 6.30 pagi ini, siklon berkenaan berada di lokasi 100 kilometer di tenggara Vizag.

"Kami sentiasa memantau situasi," kata jurucakap jabatan meteorologi. - REUTERS

Berita Harian X