Rabu, 22 Oktober 2014 | 5:19pm

Jet pejuang Indonesia pintas pesawat Australia

JAKARTA: Jet pejuang Indonesia memintas sebuah pesawat ringan Australia dan memaksanya mendarat selepas ia memasuki ruang udara negara berkenaan tanpa kebenaran.

Jurucakap tentera Udara Indonesia, Hadi Cahyanto berkata, pesawat awam Beechcraft yang didaftarkan di Australia itu sedang melakukan penerbangan dari Darwin, Australia, ke Cebu di Filipina apabila ia dipintas oleh dua jet pejuang Sukhoi

Katanya, pesawat itu dipaksa mendarat di lapangan terbang Manado, di bahagian utara pulau Sulawesi di tengah Indonesia.

Hanya juruterbang dan pembantu juruterbang, kedua-duanya warga Australia, saja berada di dalam pesawat terbabit.

Cahyanto berkata mereka disoal siasat oleh penyiasat tentera sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa lapangan terbang untuk disoal siasat dengan lebih lanjut.

"Mereka tidak mempunyai surat pelepasan yang membenarkan mereka memasuki ruang udara Indonesia.

"Tapi oleh kerana mereka orang awam dan bukan anggota tentera, kami menyerahkan mereka kepada pihak berkuasa lapangan terbang bagi siasatan," katanya.

Jurucakap Kementerian Pengangkutan, J A Barata berkata pesawat itu mula dilihat dekat Ambon, ibu negeri pulau Maluku, dan dimaklumkan supaya mendarat.

"Mereka tidak mengendahkan jadi mereka dipaksa supaya mendarat di Manado," katanya. - AFP

Berita Harian X