Selasa, 19 Ogos 2014 | 1:12pm
Pengasas WikiLeaks, Julian Assange bercakap dalam sidang akhbar di Kedutaan Ecuador, London semalam. - Foto AP

Assange tunggu jaminan tidak diekstradisi ke Amerika Syarikat

SYDNEY: Pengasas WikiLeaks, Julian Assange tidak akan meninggalkan Kedutaan Ecuador di London sehingga ada jaminan beliau tidak diekstradisi ke Amerika Syarikat, kata peguamnya.

Rakyat Australia itu, yang dilindungi di kedutaan berkenaan selama dua tahun, semalam memberitahu dia akan meninggalkan tempat berkenaan tidak lama lagi. Laporan akhbar sebelum ini menyatakan Assange, 43, menghidapi beberapa penyakit termasuk masalah jantung.

Peguamnya, Jennifer Robinson mengakui kepada Perbadanan Penyiaran Australia bahawa keadaan kesihatan Assange menjadi bertambah teruk selepas terlalu lama berada di tempat sama.

"Beliau akan meninggalkan kedutaan itu sebaik sahaja dibenarkan berbuat demikian manakala perlindungan politik bagi mengelakkannya daripada diekstradisi ke Amerika Syarikat dihormati.

"Setakat ini kami belum memperoleh persetujuan itu," katanya. Assange memohon perlindungan di Kedutaan Ecuador pada Jun 2012 bagi mengelakkan daripada diekstradisi ke Sweden, di mana beliau menghadapi dakwaan merogol dan pencabulan, yang dinafikannya sekeras-kerasnya.

Beluau bimbang ekstradisinya ke Sweden akan menyebabkannya dipindahkan ke Amerika Syarikat bagi menghadapi perbicaraan berhubung hebahan WikiLeaks mengenai dokumen sulit tentera dan diplomatik Amerika Syarikat. - AFP

26 dibaca
Berita Harian X