Selasa, 26 Ogos 2014 | 11:10am
Anggota penyelamat berusaha untuk menyelamatkan mangsa di dalam bas yang terbalik di dalam sebuah terusan di bandaraya Changwon, Korea Selatan semalam. - Foto AFP

Lima maut, lima hilang dalam banjir kilat di Korea Selatan

SEOUL: Lima orang terbunuh dan lima lain hilang berikutan hujan lebat dan banjir kilat di bahagian selatan negara ini.

Seorang maut apabila bas yang dinaikinya dibawa arus banjir kilat ke sebuah terusan yang dilimpahi air di bandaraya Changwon semalam, kata Agensi Pengurusan Kecemasan Nasional.

Empat penumpang lain dalam bas terbabit hilang, termasuk pemandunya. Gambar televisyen menunjukkan bas berkenaan ditarik dalam air berlumpur, dan terbalik sebelum tersangkut di bawah sebuah jambatan.

Anggota penyelamat terpaksa memecahkan cermin tingkap bas dan menarik keluar mayat seorang wanita berusia 19 tahun, dan masih mencari mangsa lain yang masih hilang.

Sementara itu dalam kejadian hujan lebat di Busan, empat orang lagi juga didapati maut. Mangsa termasuk dua orang yang terperangkap dan lemas di dalam kereta ketika mereka memandu melalui terowong bawah tanah yang ditenggelami air di Busan.

Seorang jurutera juga hilang selepas beliau ke bahagian bawah tanah bangunan yang dilanda banjir bagi memeriksa litar kuasa elektrik.

Sebuah loji tenaga nuklear di wilayah Gijang terpaksa menghentikan operasi manakala hujan lebat menyebabkan perkhidmatan kereta api bawah tanah di Busan mengalami gangguan.

Gambar televisyen juga menunjukkan air berwarna coklat mengalir turun tangga dan ekskalator ke stesen kereta api bawah tanah, dan menenggelami landasan kereta api.

Bandar raya ini ditenggelami sehingga 20 sentimeter air berikutan hujan selama tiga jam semalam. - AFP

Berita Harian X