Rabu, 24 September 2014 | 9:05am
Anggota polis dan unit forensik melakukan penyiasatan selepas seorang suspek pengganas ditembak mati di Balai Polis Endeavour Hills, Melbourne petang semalam. - Foto EPA
Anggota polis dan unit forensik melakukan penyiasatan selepas seorang suspek pengganas ditembak mati di Balai Polis Endeavour Hills, Melbourne petang semalam. - Foto EPA

Polis Australia tembak mati lelaki disyaki pengganas

SYDNEY: Polis menembak mati 'suspek keganasan' selepas menikam dua pegawai polis ketika sedang disoal siasat sehari selepas pergerakan Negara Islam (IS) menggesa supaya rakyat Australia dibunuh.

Suspek berusia 18 tahun itu diminta hadir ke balai polis di pinggir Bandaraya Melbourne untuk disoal siasat yang disyaki anggota kumpulan Al-Furqan.

Polis berkata ketika menemui dua anggota polis daripada pasukan antikeganasan, lelaki itu terus mengeluarkan sebilah pisau dan menikam kedua-dua mereka berkali-kali sebelum salah seorang anggota polis melepaskan tembakan ke arah suspek sehingga menyebabkan kematiannya.

"Lelaki terbabit adalah seorang suspek yang dikehendaki oleh pihak berkuasa dan agensi perisikan," kata Menteri Kehakiman Australia, Michael Keenan, hari ini.

"Kejadian berlaku ketika siasatan polis dan anggota polis terbabit menembak bagi melindungi dirinya," katanya.

Laporan menyatakan lelaki itu pernah membuat ancaman terhadap Perdana Menteri Australia, Tony Abbott dan dilihat membawa bersama bendera pergerakan IS.

"Maklumat lanjut mengenai kejadian malam tadi masih disiasat," kata Keenan.

Nama dan pekerjaan lelaki itu bagaimanapun tidak didedahkan. - AP

Berita Harian X