Khamis, 28 Ogos 2014 | 9:21pm

Fasa pertama MRT siap hujung 2016 - Idris Jala

FASA pertama projek MRT, Sungai Buloh-Semantan akan tetap disiapkan menjelang hujung tahun 2016 - NSTP/Rosela Ismail
FASA pertama projek MRT, Sungai Buloh-Semantan akan tetap disiapkan menjelang hujung tahun 2016 - NSTP/Rosela Ismail

KUALA LUMPUR: Fasa pertama projek MRT, Sungai Buloh-Semantan akan tetap disiapkan menjelang hujung tahun 2016 walaupun berlaku insiden runtuhan konkrit yang mengorbankan tiga pekerja asing baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, berkata selain mematuhi jadual pembinaan, semua pihak terbabit juga komited memastikan kos asal jajaran Sungai Buloh-Kajang sepanjang 51 kilometer yang dilaksanakan dalam dua fasa tidak lebih RM23 bilion.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), berkata semua kontraktor sudah diberi peringatan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) dan kerajaan tidak akan berkompromi mengenainya.

"SOP sudah ada, namun ada pihak tidak mengikutinya sepenuhnya dan yang paling penting kini ialah kita meningkatkan pengawasan dan melakukan yang terbaik untuk memastikan insiden sedemikian tidak berulang," katanya dalam taklimat media di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda Bhd, Datuk Lin Yun Ling, mewakili rakan pelaksana projek (PDP) MRT.

Pada 18 Ogos lalu, tiga pekerja binaan terbunuh selepas landasan konkrit di tapak kerja MRT dekat Institut Penyelidikan Getah, Kota Damansara runtuh.

Sementara itu, Yun Ling berkata, PDP akan menambah 60 lagi kakitangan pengawasan keselamatan di semua pakej projek MRT itu yang secara keseluruhan membabitkan 10 kontraktor utama dan kira-kira 12,000 pekerja.

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan semua kontraktor terbabit mematuhi SOP terutama ketika melaksanakan kerja-kerja yang berisiko tinggi di projek pembinaan terbabit.

Berita Harian X