Jumaat, 19 September 2014 | 4:14pm

IPO Alibaba AS$68 seunit, raih AS$25 bilion

Kain rentang menghiasi bahagian depan Bursa Saham New York menjelang IPO syarikat e-dagang itu, Jumaat. IPO Alibaba ditetapkan pada AS$68 (RM219) seunit. - Foto AP
Kain rentang menghiasi bahagian depan Bursa Saham New York menjelang IPO syarikat e-dagang itu, Jumaat. IPO Alibaba ditetapkan pada AS$68 (RM219) seunit. - Foto AP

NEW YORK: Alibaba, firma e-dagang terbesar China akan membuat kemunculan sulung di bursa saham, dengan harga sahamnya ditetapkan pada AS$68 (RM219) seunit dalam tawaran awam permulaan (IPO) yang mungkin meraih AS$25 bilion (RM80.5 bilion).

Syarikat itu akan masuk sebagai syarikat awam di Bursa Saham New York pada harga IPO yang ditetapkan pada julat tertinggi daripada harga unjuran antara AS$66 - AS$68 yang diumumkan awal minggu ini.

Jumlah yang diraih daripada IPO itu sebanyak AS$25.02 bilion jika pelabur melanggan saham opsyen, akan memecahkan rekod AgBank, China pada 2010 yang meraih AS$22.1 bilion (RM71.1 bilion).

Pengasas Alibaba, Jack Ma akan membunyikan loceng permulaan dagangan di Wall Street awal pagi Jumaat di sini.

Pada harga IPO itu, Alibaba akan mempunyai permodalan pasaran kira-kira AS$168 bilion (RM541 bilion), lebih besar daripada pesaingnya di AS, Amazon.

IPO Alibaba membolehkan pelabur akses kepada pasaran besar di China tetapi juga menyemarakkan sasaran syarikat itu untuk menjadi pemain utama global.

Perkhidmatan ditawarkan Alibaba hampir sama ditawarkan firma e-dagang AS termasuk eBay, PayPal dan Amazon dan ia juga mengendalikan perkhidmatan untuk pemborong. Alibaba terkenal terutamanya menerusi pasar online yang diperkenalkannya, Taobao.

Alibaba mencatat untung hampir AS$2 bilion (RM6.4 bilion) yang disandarkan kepada pendapatan AS$2.5 bilion (RM8 bilion) pada suku kedua berakhir 30 Jun. Pendapatan pada tempoh dikaji meningkat 46 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

IPO itu juga menjadi detik bersejarah bagi Yahoo yang membeli 40 peratus kepentingan Alibaba pada 2005 pada pertimbangan AS$1 bilion (RM3.2 bilion) dan masih memegang 22.4 peratus kepentingan ekuiti. - AFP

Berita Harian X