Selasa, 7 Oktober 2014 | 4:40pm

PKS harap insentif perniagaan dalam bidang baharu

KUALA LUMPUR: Usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berharap kerajaan menyediakan lebih peruntukan dan tumpuan bagi perniagaan dalam bidang baharu menerusi Bajet 2015.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Zhariff Affandi, berkata ramai daripada kalangan usahawan PKS di negara ini terutama golongan muda menceburi bidang perniagaan baharu bagi meningkatkan taraf ekonomi masing-masing.

"Mereka menceburi perniagaan dalam talian dan teknologi maklumat (IT) sebagai wadah untuk memasarkan produk atau perkhidmatan.

"Pembabitan usahawan PKS dalam bidang berkenaan memerlukan mereka untuk mendapatkan lebih banyak peruntukan serta kemudahan prasarana bersesuaian bagi membantu mereka memasarkan produk," katanya kepada BH.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu menyediakan satu ekosistem keusahawanan bagi membantu PKS tempatan memperoleh akses tepat untuk mengembangkan perniagaan mereka.

"Menerusi ekosistem keusahawanan yang teratur ditambah dengan insentif kerajaan, PKS di negara ini akan berupaya meningkatkan keupayaan perniagaan mereka," katanya.

Pada masa sama katanya, kerajaan perlu memastikan bajet tahun ini bukan sekadar dilihat daripada aspek kewangan semata-mata, tetapi juga insentif dan menambah baik prasarana untuk membantu PKS dan usahawan muda bersaing di peringkat global.

"Insentif dan prasarana sedia ada perlu diteliti serta ditambah baik mengikut keperluan semasa. Contohnya, kerajaan boleh mempertimbangkan penggunaan semula bangunan atau premis terbiar untuk dijadikan satu tempat perniagaan bagi golongan PKS.

"Ia adalah satu usaha untuk membantu golongan sasar selain mengelak pembaziran hingga boleh menjejaskan pendapatan negara," katanya.

Mengulas pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bermula 1 April tahun depan, beliau berkata, PKS perlu dibantu untuk meningkatkan kefahaman dan bersedia menghadapi skim cukai baharu itu.

Berita Harian X