Rabu, 8 Oktober 2014 | 10:21am

ANGKASA harap RM1 bilion untuk tabung modal pusingan

PETALING JAYA: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) berharap peruntukan untuk Tabung Modal Pusingan bagi sektor koperasi ditingkatkan kepada RM1 bilion setahun dalam Bajet 2015.

Presiden Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata sebelum ini tabung itu diperuntukkan RM100 juta setahun yang perlu diagihkan kepada lebih lapan juta anggota koperasi di seluruh negara.

"Jika jumlah peruntukan diperbanyakkan lagi, ia mampu memberi faedah berganda kepada negara kerana saya yakin kami mampu menyumbang lebih RM50 bilion kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) pada tahun 2020.

"Malah kami mengharapkan tahun ini, sektor koperasi dijangka dapat menyumbang RM35 bilion," katanya.

Abdul Fattah berkata untuk tahun lalu, sektor koperasi menyumbang sebanyak RM32 bilion kepada KDNK.

Katanya antara contoh negara yang memanfaatkan sepenuhnya hasil sektor koperasi adalah Thailand apabila angkatan koperasi di negara itu mampu menjana pendapatan lebih RM80 bilion setahun. - BERNAMA

Berita Harian X