Rabu, 8 Oktober 2014 | 1:04pm

LIAM mahu insentif pelepasan cukai dalam Bajet 2015

KUALA LUMPUR: Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) mencadangkan kerajaan memberikan lebih banyak insentif pelepasan cukai dalam Bajet 2015 untuk menggalakkan perancangan kewangan dalam kalangan rakyat.

"Ketika negara merealisasikan usaha menjadi negara berpendapatan tinggi, minda rakyat perlukan transformasi, supaya mampu berdikari dalam mengurus kedudukan kewangan mereka," kata LIAM dalam satu kenyataan hari ini.

Mengikut LIAM, pelepasan cukai RM6,000 ke atas gabungan sumbangan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan premium insurans hayat, tidak disemak semula sekian lama.

Semakan terakhir ialah pada tahun penilaian cukai 2005, dengan jumlah itu dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM6,000, katanya.

Bagi membezakan dua elemen penting perancangan kewangan iaitu simpanan dan perlindungan, LIAM mencadangkan pelepasan cukai dibuat berasingan untuk caruman KWSP dan premium insurans hayat.

LIAM mahukan pelepasan cukai RM6,000 masing-masing ke atas caruman KWSP dan premium insurans hayat.

Persatuan itu juga mencadangkan pelepasan cukai ke atas premium insurans pendidikan dan perubatan dinaikkan daripada RM3,000 sedia ada kepada RM6,000, berikutan jumlah itu tidak mencukupi dalam banyak keadaan.

"Sebagai contoh, bagi purata keluarga dua dewasa dan tiga anak, kos insurans perubatan berjumlah sekurang-kurangnya RM2,500 setahun, yang hanya memperuntukkan premium RM500 setahun untuk simpanan pendidikan anak-anak.

"Jumlah ini tidak mencukupi dan rakyat semakin berasa kesan berikutan perbelanjaan untuk penjagaan kesihatan yang terus meningkat," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X