X
Jumaat, 10 Oktober 2014 | 5:47pm

Bajet 2015 : RM600 juta perkukuh ESSCOM - Najib

KUALA LUMPUR: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), yang bertanggungjawab menyelaras pelbagai agensi keselamatan dan pertahanan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE), akan diperkukuh dengan peruntukan RM660 juta.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, berkata peruntukan itu merangkumi penambahan satu batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia dan satu batalion Tentera Darat dengan 1,280 anggota baharu yang diluluskan.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata dua kem juga akan dibina di ESSZONE iaitu Kem Batalion 20 PGA di Beluran dan Kem Angkatan Tentera Malaysia di Felda Sahabat, Lahad Datu, Sabah.

"Di samping itu, kelengkapan operasi pertahanan dan keselamatan akan ditambah baik. Antaranya perolehan sistem radar pengawasan berkeupayaan tinggi," katanya membentangkan "Bajet 2015: Ekonomi Keperluan Rakyat" di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Esszone merangkumi 10 daerah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, dan Tawau, yang meliputi 1,733.7 kilometer.

Najib berkata kerajaan juga akan menggunakan satu pelantar minyak yang diubah suai dan sebuah kapal bantuan sebagai 'Sea Basing' (Pangkalan Laut) di perairan ESSZONE dengan peruntukan sebanyak RM230 juta melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat Petronas.

"Sebagai tambahan, untuk membolehkan pesawat berkeupayaan tinggi mendarat, kerajaan akan memanjangkan landasan lapangan terbang di Lahad Datu dan perpindahan Skuadron Hawk dari Butterworth ke Labuan dengan peruntukan RM50 juta," katanya.

Selain itu, Perdana Menteri berkata perkampungan air seperti di Semporna dan Sandakan akan turut ditempatkan semula secara berperingkat.

"Kerajaan berharap dengan inisiatif ini, keselamatan rakyat Malaysia di Sabah akan terus terjamin dan aktiviti ekonomi akan terus rancak," katanya.

Penubuhan ESSCOM diumumkan Perdana Menteri semasa lawatannya ke Lahad Datu pada 7 Mac tahun lalu, susulan pencerobohan kumpulan pengganas Sulu di Kampung Tanduo sebulan sebelum itu. - BERNAMA

Berita Harian X