Rabu, 15 Oktober 2014 | 2:14pm

23 syarikat Bumiputera dipilih untuk tender kedua Kwasa Damansara

PETALING JAYA: Kwasa Land Sdn Bhd memilih 23 pemaju Bumiputera untuk mengambil bahagian dalam proses tender keduanya bagi cadangan pembangunan perumahan di tapak seluas 3.55 hektar dalam perbandaran Kwasa Damansara yang dikenali sebagai 'R3-2'.

'R3-2' yang terletak di bahagian utara perbandaran Kwasa Damansara adalah bersebelahan stesen My Rapid Transit (MRT). Kedudukannya yang strategik dan dihubungkan oleh rangkaian sistem jalan raya yang menyeluruh menjadikan hartanahnya bernilai tinggi.

Antara syarikat Bumiputera yang dipilih Kwasa Land, anak syarikat milik penuh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) termasuk Ahmad Zaki Sdn Bhd, Apex Communication Sdn Bhd, Ark Resources Bhd, Dwitasik Sdn Bhd, Faber Union Sdn Bhd, Fairview Development Sdn Bhd, Impiana Land Development Sdn Bhd, ISY Sdn Bhd, Johawaki Development Sdn Bhd, Lebar Daun Development Sdn Bhd, Getrahome Sdn Bhd, Prima Nova Sdn Bhd, Purplestar Land (M) Sdn Bhd dan Kinta Berkat Sdn Bhd.

Syarikat lain termasuk Selia Selenggara Sdn Bhd, Sensatimur Sdn Bhd, Seri Meraga Properties Sdn Bhd, Sharikat Permodalan Kebangsaan Bhd, Swasta Setia Holdings Sdn Bhd, Triplc Bhd, Tujuan Gemilang Sdn Bhd, UDA Holdings Bhd dan Zikay Group Sdn Bhd.

Pengarah Urusan Kwasa Land, Mohd Lotfy Mohd Noh, berkata langkah membuka tender kedua pembangunan perbandaran Kwasa Damansara kepada syarikat Bumiputera adalah bertepatan dengan matlamat syarikat memperkasa agenda Bumiputera.

"Kwasa Land amat perihatin meningkatkan inisiatif Bumiputera dalam pembangunan perbandaran Kwasa Damansara, yang mana kami akan memastikan syarikat Bumiputera mendapat faedah daripada pembangunan ini melalui penyertaan pembangunan industri hartanah.

"Kami komited dalam agenda pemerkasaan Bumiputera dengan memperuntukkan lebih satu pertiga tanah kepada syarikat Bumiputera yang berkelayakan," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Lotfy berkata, daripada 152 permohonan prakelayakan untuk menyertai pembangunan perbandaran Kwasa Damansara yang diterima, 70 daripadanya adalah di dalam kategori Bumiputera.

Ogos lalu, Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB) dipilih untuk memajukan pembangunan sulung perbandaran Kwasa Damansara, dikenali sebagai Projek MX-1 dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sekurang-kurangnya RM8 bilion.

Projek MX-1 dengan keluasan 25.9 hektar adalah pembangunan bercampur dan di bawah pelan induk pembangunan diletakkan sebagai pusat bandar bagi cadangan perbandaran Kwasa Damansara.

MRCB dipilih daripada enam syarikat yang menghantar permohonan bagi tender Projek MX-1.

Kwasa Land membeli tanah Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRI) di Sungai Buloh daripada kerajaan bernilai RM2.28 bilion pada 2012 untuk dibangunkan sebagai perbandaran Kwasa Damansara untuk tempoh 20 tahun akan datang.

Berita Harian X