Khamis, 16 Oktober 2014 | 5:55pm

Jualan kenderaan pada September susut kepada 47,771 unit

KUALA LUMPUR: Jangkaan terhadap pelancaran Perodua Axia dan Proton Iriz, menjejaskan tempahan ke atas model lain sehingga menyebabkan jualan kenderaan pada September turun kepada 47,771 unit berbanding 54,945 unit pada bulan sama tahun lalu.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) berkata kedua-dua segmen penumpang dan komersial mencatat jualan yang lebih rendah pada September dengan kenderaan penumpang turun kepada 41,397 unit berbanding 48,411 unit pada bulan sama tahun lalu manakala kenderaan komersial susut kepada 6,374 unit berbanding 6,534 unit sebelumnya.

Daripada Januari hingga kini, MAA berkata jumlah jualan industri naik satu peratus atau 4,335 unit kepada 492,305 unit berbanding 487,970 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Pengeluaran kenderaan komersial dan penumpang bulan lalu berkurangan kepada 49,479 unit berbanding 54,017 unit yang dicatat pada September tahun lalu, kata MAA.

Keluaran bagi segmen kenderaan penumpang susut pada September kepada 45,620 unit berbanding 48,932 unit pada bulan yang sama tahun lalu manakala jumlah keluaran kenderaan komersial susut kepada 3,859 unit berbanding 5,085 unit sebelumnya.

Mengenai unjuran, MAA berkata jumlah jualan bagi Oktober dijangka lebih baik daripada Ogos berdasarkan penyerahan Perodua Axia dan Proton Iriz walaupun pengguna dijangka terus berhadapan dengan syarat pinjaman yang ketat. - BERNAMA

Berita Harian X