Khamis, 30 Oktober 2014 | 1:20pm

Najib umum pembukaan Agro Bazaar di Dubai

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak ceria ketika merasmikan Festival Makanan Agro Malaysia dan majlis ramah mesra pemimpin bersama rakyat Malaysia di Emiriah Arab Bersatu (UAE), di Dubai, hari ini. Turut bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tiga dari kiri), Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (dua dari kiri) dan Duta Malaysia ke UAE, Datuk Ahmad Anwar Adnan (kanan). - Foto BERNAMA

DUBAI: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembukaan Agro Bazaar di Dubai oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

"Kita perlu berada dekat dengan pasaran untuk menjana peratusan pendapatan yang lebih tinggi. Lebih dekat kita dengan pasaran, lebih banyak faedah yang kita dapat," kata beliau semasa pelancaran Malaysian Agrofood Festival dan majlis perjumpaan 300 rakyat Malaysia, di sini, semalam.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, mendekatkan diri dengan rantaian bekalan global adalah sebahagian daripada sasaran strategi kerajaan.

"Dalam menggerakkan rantaian nilai sektor pertanian, FAMA dijangka membuka lebih banyak Agro bazaar di luar negara, termasuk di Hong Kong," katanya.

Dengan sasaran untuk mempromosikan buah-buahan dan produk asas tani premium Malaysia, agro bazar pertama dibuka di Singapura pada Ogos, katanya.

Beliau berkata, durian 'Musang King' premium benar-benar dilayan seperti 'raja' di Singapura.

"Durian itu disimpan dalam bilik berhawa dingin sepanjang masa. Ia dijual pada harga S$26 sekilogram. Dan selepas penukaran (ke dalam ringgit Malaysia), anda tidak akan dapat harga yang sama di mana-mana di Malaysia," katanya.

Semasa tempoh tujuh bulan pertama 2014, eksport buah-buahan meningkat sebanyak 44.7 peratus kepada RM298.8 juta.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan ucapan ketika majlis perasmian Festival Makanan Agro Malaysia dan majlis ramah mesra pemimpin bersama rakyat Malaysia di UAE di sini, hari ini. - Foto BERNAMA

Turut hadir di majlis yang diadakan di Arena, Jumeirah Beach Hotel itu ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Ismail Sabri Yaakob.

Terdahulu, Ismail berkata, Agro Bazaar Dubai, pusat sehenti bagi buah-buahan dan produk asas tani Malaysia akan memulakan perniagaan dalam suku ketiga tahun depan.

Agro Bazaar Dubai juga akan menjadi hab dagangan dan pengedaran serta pintu masuk bagi buah-buahan dan produk asas tani Malaysia ke negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), katanya.

Terdapat kira-kira 6,000 rakyat Malaysia tinggal dan bekerja di UAE, bilangan paling ramai di negara itu diikuti Arab Saudi.

Kebanyakan mereka terbabit dalam sektor penerbangan, minyak dan gas serta perbankan Islam.

Najib berada di Dubai sempena menghadiri Forum Ekonomi Islam Sedunia Ke-10 (WIEF) yang bermula pada 28 Oktober di Madinat Jumeirah.

WIEF dianjurkan oleh Yayasan WIEF secara kerjasama dengan Dubai Chamber of Commerce and Industry.

Ini adalah kunjungan kedua Najib ke UAE selepas melawat ibu kota Abu Dhabi itu pada Mei.

- BERNAMA

Berita Harian X