Jumaat, 3 Oktober 2014 | 4:10pm

GST beri kesan positif kepada sektor auto - Kenanga Research

KUALA LUMPUR: Kenanga Research menjangkakan struktur Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan lebih jelas dalam Bajet 2015 yang mana jika dilaksanakan seperti dirancang akan memberi kesan positif kepada sektor automotif.

Dengan menyandarkan kepada prestasi terkini sektor itu, firma penyelidikan itu berkata GST dengan kadar enam peratus akan menggantikan cukai jualan sedia ada yang lebih tinggi iaitu 10 peratus, justeru menurunkan harga atas jalan bagi kereta.

"Bagaimanapun, penurunan sedikit harga kereta mungkin hanya menjadi pemangkin yang sederhana positif berikutan ia tidak cukup menarik untuk mendorong perubahan dalam pandangan neutral kami.

"Tambahan pula, kami yakin bahawa impak yang positif akan dapat diimbangi dengan mudah oleh pelan rasionalisasi subsidi yang akan datang serta kenaikan kos sara hidup," kata firma itu dalam nota penyelidikannya.

Katanya, jualan kenderaan untuk sepanjang 2014 akan disokong oleh pelancaran model-model baharu terutamanya segmen A dan B yang mampu dimiliki, seperti Perodua Axia dan Proton Iriz.

"Kami masih mengekalkan unjuran jumlah keluaran industri (TIV) yang konservatif sebanyak 668,900 unit berikutan jangkaan momentum jualan akan perlahan berikutan asas yang tinggi pada separuh kedua 2013, apabila jualan meningkat selepas pilihan raya, serta perbelanjaan pengguna yang perlahan," kata Kenanga Research. - BERNAMA

Berita Harian X