Jumaat, 3 Oktober 2014 | 8:04pm
KETUA Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud. - Foto Saifullizan Tamadi.
KETUA Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud. - Foto Saifullizan Tamadi.

Syarikat Jepun mahu jadikan Malaysia hab R&D ASEAN

OSAKA, Jepun: Usaha menarik pelaburan baharu dari Jepun dalam sektor berteknologi tinggi mula menampakkan kejayaan apabila sebuah syarikat sudah menyatakan komitmen untuk melabur dalam sektor kejuruteraan alam sekitar dan tenaga boleh diperbaharui.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud, berkata syarikat Jepun berminat dengan langkah kerajaan mempromosikan sektor berteknologi baharu terutama teknologi hijau, elektronik termaju, automotif dan bioteknologi.

"Selain pelaburan baharu itu, sekurang-kurangnya empat syarikat utama Jepun menyatakan komitmen untuk terus melabur di Malaysia," katanya ditemui selepas Seminar Peluang Perniagaan di Malaysia di sini hari ini.

Seminar itu adalah yang kedua diadakan di Jepun selepas Tokyo, sempena misi perdagangan dan Pelaburan Malaysia ke Korea Selatan dan Jepun yang berakhir hari ini.

Azman berkata, usaha mempromosi serta mengetengahkan peranan Malaysia sebagai hab ASEAN juga mendapat perhatian syarikat Jepun yang mana sekurang-kurangnya empat syarikat utama negara itu menyuarakan hasrat untuk mewujudkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) serantau.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Dzulkifli Mahmud, berkata peniaga Malaysia digalak meneroka peluang perniagaan di wilayah Kansai yang terkenal sebagai pusat perindustrian dan pelabuhan utama negara matahari terbit itu.

Wilayah itu yang membabitkan beberapa bandar raya utama seperti Osaka, Kobe, Yogo dan Hiroshima terdapat banyak kilang dan pelabuhan terbaik serta pintu masuk utama kepada produk dari Malaysia yang dieksport ke Jepun bagi kegunaan industri negara itu.

Selain terkenal sebagai pusat perindustrian yang menempatkan kilang beberapa syarikat automotif utama Jepun seperti Mazda, Toyota, Daihatsu, Suzuki serta lampu LED automotif, Kansai juga mempunyai potensi yang baik untuk perdagangan kerana terdapat ramai pelancong berkunjung ke sana.

"Sebanyak 27 peratus perdagangan antara Malaysia dan Jepun adalah membabitkan wilayah Kansai dan Penerbangan Malaysia (MAS) serta AirAsia juga mendarat di situ," katanya.

Berita Harian X