Jumaat, 5 Disember 2014 | 3:54pm

Lebihan dagangan Malaysia RM62.83b, Januari-Oktober 2014

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatat lebihan dagangan sebanyak RM62.83 bilion bagi 10 bulan pertama 2014, dengan jumlah dagangan meningkat 6.6 peratus kepada RM1.21 trilion berbanding tempoh sama tahun lalu, demikian mengikut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) .

Eksport Malaysia bertambah 7.3 peratus kepada RM634.75 bilion manakala import naik 5.9 peratus kepada RM571.92 bilion.

Tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir ialah barang pengantara bernilai RM343.38 bilion atau 60 peratus daripada jumlah import; barang modal bernilai RM78.64 bilion atau 13.7 peratus daripada jumlah import dan barang penggunaan bernilai RM41.69 bilion atau 7.3 peratus daripada jumlah import.

Sementara itu, pertumbuhan dalam eksport disokong oleh pasaran utama iaitu ASEAN, Kesatuan Eropah (EU), Hong Kong, India, Australia, Amerika Syarikat (AS), Taiwan dan Jepun dengan semua sektor mencatat pertumbuhan, kata MITI dalam satu kenyataan hari ini.

Ia berkata perdagangan dengan negara-negara rakan kongsi Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) meningkat 4.6 peratus kepada RM753.35 bilion, dengan eksport naik 5.9 peratus kepada RM406.79 bilion dan import menokok 3.2 peratus kepada RM346.55 bilion.

Dagangan dengan ASEAN terus positif, berkembang 4.4 peratus bagi 10 bulan tahun ini kepada RM324.68 bilion, menyumbang 28 peratus jumlah eksport Malaysia.

"Hampir 90 peratus eksport kepada ASEAN terdiri daripada barangan pembuatan seperti petroleum, petroleum mentah, kimia dan bahan kimia, minyak sawit (minyak sawit mentah, minyak sawit berperingkat, minyak kernel sawit, olein dan stearin) serta barangan optik dan saintifik," katanya.

Jumlah dagangan Malaysia dengan China bagi 10 bulan pertama meningkat 3.3 peratus kepada RM169.71 bilion tetapi eksport susut 2.2 peratus atau RM1.7 bilion, berikutan eksport lebih rendah bagi barangan logam, minyak sawit, kimia dan bahan kimia serta produk getah.

Bagaimanapun, MITI berkata eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) serta barangan petroleum meningkat, masing-masing sebanyak RM2.2 bilion dan RM1.88 bilion, dan menambah pengurangan dalam eksport disebabkan oleh pertumbuhan perlahan ekonomi China dan permintaan domestik.

Import dari China juga meningkat sebanyak 8.2 peratus kepada RM94.69 bilion berikutan import lebih tinggi bagi peralatan optikal dan saintifik, barangan E&E serta barangan besi dan keluli.

Eksport ke Jepun menokok 4.3 peratus kepada RM68.16 bilion manakala import berkurangan 2.6 peratus kepada RM46.04 bilion yang menjadikan jumlah dagangan sebanyak RM114.2 bilion, peningkatan 1.4 peratus berbanding tempoh sama 2013.

Permintaan kukuh sektor pembuatan di beberapa negara di EU terus memberi sokongan eksport ke rantau berkenaan dengan dagangan meningkat 5.9 peratus kepada RM118.46 bilion manakala eksport mencatat pertumbuhan dua angka, 10.9 peratus kepada RM60.05 bilion.

MITI berkata permintaan yang berterusan daripada industri menyaksikan eksport ke AS berkembang 8.8 peratus kepada RM52.75 bilion manakala import naik 3.5 peratus kepada RM43.49 bilion, menjadikan jumlah dagangan sebanyak RM96.24 bilion, kenaikan 6.3 peratus.

Bagi 10 destinasi utama eksport Malaysia pula, Singapura mendahului dengan nilai RM90.40 bilion diikuti China (RM75.02 bilion), Jepun (RM68.16 bilion), AS (RM52.75 bilion), Thailand (RM33.34 bilion), Hong Kong (RM30.83 bilion), Australia (RM27.89 bilion), Indonesia (RM26.80 bilion), India (RM.56 bilion) dan Korea Selatan (RM23.10 bilion).

MITI berkata bagi Oktober 2014, jumlah dagangan meningkat 2.6 peratus kepada RM128.99 bilion dengan lebihan dagangan sebanyak RM1.19 bilion yang dicatatkan pada bulan berkenaan.

Bagi perbandingan tahun sebelumnya, eksport mencatat penurunan buat pertama kalinya sejak Julai 2013, pada 3.1 peratus atau RM2.1 bilion kepada RM65.09 bilion, manakala import bagi bulan berkenaan meningkat 9.1 peratus kepada RM63.90 bilion.

Penurunan dalam eksport disebabkan oleh kesan asas yang tinggi kerana eksport pada Oktober 2013 berjumlah RM67.19 bilion adalah eksport bulanan tertinggi pernah dicatatkan, kata MITI. - BERNAMA

Berita Harian X