Khamis, 11 Disember 2014 | 7:59pm

Kwasa Land terima 8 bidaan tender Projek R3-2

KUALA LUMPUR: Kwasa Land Sdn Bhd, pemaju utama perbandaran seluas 932 hektar, Kwasa Damansara, menerima lapan bidaan bagi pembangunan Projek R3-2.

Pengarah Urusannya, Datuk Mohd Lotfy Mohd Noh, berkata memandangkan proses adjudikasi bagi semua cadangan oleh panel perunding bebas dari pelbagai bidang akan mengambil masa satu hingga dua bulan, penender yang berjaya akan diumum kemudian.

"Lapan syarikat itu ialah Ahmad Zaki Sdn Bhd, ARK Resources Bhd, Impiana Land & Development Sdn Bhd, ISY Holdings Sdn Bhd, Johawaki Development Sdn Bhd, Kinta Berkat Sdn Bhd, Prima Nova Sdn Bhd dan Sensatimur Sdn Bhd," katanya dalam satu kenyataan.

Projek R3-2 adalah pembangunan kediaman dengan projek bercampur melibatkan setiap kluster kediaman mengandungi pelbagai jenis dan saiz rumah.

Kawasan berkenaan dihubungkan dengan rangkaian tiga lebuh raya sedia ada dan satu lebuh raya baharu yang dicadangkan pembinaannya, Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH), dua stesen MRT dan bersebelahan terminal udara Subang SkyPark.

Dalam perkembangan lain, Kwasa Land dijangka mempelawa pemaju Tier 2 bagi pembangunan kediaman menjelang awal 2015.

Kwasa Land adalah anak syarikat milik penuh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang ditubuhkan pada September 2010 untuk mengurus pelaburan pembangunan hartanah KWSP dalam negara.

- BERNAMA

Berita Harian X