Selasa, 23 Disember 2014 | 5:39pm
DATUK Seri Hasan Malek bersama Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd, Azman Ismail (kiri) pada pelancaran peraduan 'Shell Win Free Fuel' di sini hari ini. - Foto Shazreen Zamzuri
DATUK Seri Hasan Malek bersama Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd, Azman Ismail (kiri) pada pelancaran peraduan 'Shell Win Free Fuel' di sini hari ini. - Foto Shazreen Zamzuri

Shell rancang buka 20 stesen baharu setiap tahun

SHAH ALAM: Shell Malaysia Trading Sdn Bhd (Shell ) menyasar untuk membuka sekurang-kurangnya 20 stesen minyak baharu tahun depan.

Pengarah Urusan, Azman Ismail, berkata langkah itu adalah sebahagian daripada strategi Shell untuk mengekalkan kedudukannya selaku peneraju pasaran runcit petroleum dan minyak pelincir di negara ini.

Selain pembukaan stesen baharu, Shell juga kini giat mengembangkan kedai bergerak deli2go yang menawarkan pelanggan hidangan makanan segar seperti hotdog roti, pastri serta minuman kopi premium di stesen tertentu.

"Kami bercadang untuk terus membuka sekurang-kurangnya 20 stesen baharu setiap tahun untuk tempoh beberapa tahun akan datang dan pada masa sama mengembangkan lagi konsep kedai deli2go," katanya pada pelancaran peraduan 'Shell Win Free Fuel' di sini hari ini.

Pelancarannya disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hasan Malek.

Shell kini mempunyai lebih 950 stesen minyak di seluruh negara serta menguasai 30 peratus penguasaan pasaran di Semenanjung dan 50 peratus di Sabah dan Sarawak.

Syarikat itu juga sudah membuka 16 deli2go di seluruh negara membabitkan Lembah Klang, Utara Semenanjung, Pantai Timur dan Johor serta merancang membuka 50 lagi tahun depan.

Mengenai peraduan 'Shell Win Free Fuel' yang bermula semalam hingga 15 Mac 2015, Azman berkata, ia adalah satu daripada cara syarikat itu untuk memberi ganjaran kepada pelanggan setia dengan menawarkan bahan api percuma selama setahun.

Menerusi peraduan itu seramai 10,000 pelanggan Shell berpeluang memenangi bahan api bernilai lebih RM2 juta apabila mereka membeli petrol dan diesel Shell dengan nilai minimum RM30 di mana-mana stesen Shell di seluruh negara.

Pelanggan perlu mengisi borang peraduan dan menjawab soalan mudah serta mengepil resit asal.

Tiga pemenang hadiah utama akan dipilih setiap bulan yang mana setiap pemenang akan memperoleh bahan api percuma selama setahun bernilai RM10,000 dan seramai 835 pelanggan lagi akan memenangi bahan api bernilai RM200 setiap minggu.

Berita Harian X