Rabu, 7 Januari 2015 | 5:12pm

Jualan kereta 2015 dijangka naik kepada 685,950 unit

KUALA LUMPUR: Jualan kereta Malaysia dijangka meningkat 3.15 peratus kepada 685,950 unit pada 2015, kata Frost & Sullivan.

Rakan kongsi kanannya, Kavan Mukhtyar, berkata penurunan harga bahan api akan membawa kepada jualan kereta yang lebih tinggi dalam suku pertama tahun ini.

"Kami jangka jualan kereta kompak akan naik berikutan pengguna lebih berminat dengan kenderaan yang lebih jimat minyak," kata Mukhtyar dalam taklimat Unjuran Automotif Malaysia 2015 di sini hari ini.

Jualan untuk kereta nasional dan bukan nasional bagi 2014 dijangka mencecah 665,000 unit.

Bagi segmen pasaran kereta nasional, Mukhtyar menjangkakan bahagian pasaran sebanyak 53.2 peratus tahun ini sama dengan peratusan tahun 2014.

Bahagian pasaran Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) adalah sebanyak 33.1 peratus dan Proton Holdings Bhd (Proton) pula memperoleh 20.1 peratus daripada keseluruhan sektor kereta nasional.

"Perodua melancarkan model Axia pada September lalu manakala Proton memperkenalkan Iriz pada Disember dan kami hanya boleh lihat prestasi jualan penuh bermula dari tahun ini," kata Mukhtyar.

Syarikat kereta bukan nasional, UMW Toyota Motor Sdn Bhd, telah meningkatkan penguasaan pasarannya kepada 12.3 peratus dalam 2014 berbanding 10.6 peratus dalam 2013 dan Honda Malaysia Sdn Bhd tumbuh hingga 13 peratus dalam 2014 daripada 8.8 peratus dalam 2013.

"Kami juga menjangkakan pembuat kereta bukan nasional untuk terus berkembang kerana mereka mempunyai rancangan untuk memasang kereta di sini sebagai sebahagian daripada strategi untuk merendahkan harga kenderaan mereka," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X