Jumaat, 30 Januari 2015 | 10:28am

Tarif elektrik tidak turun selagi harga gas tinggi

Walaupun harga minyak dunia pada masa ini dalam aliran menurun, kaitannya dengan tarif elektrik tidak begitu rapat. Justeru, adalah tidak dijangkakan tarif elektrik akan turun dalam masa terdekat.

Kos utama penjanaan tenaga elektrik adalah gas yang sudah ditetapkan pada harga subsidi. Gas asli berpaip dan gas asli cecair (LNG) kini merangkumi 55 peratus daripada kumpulan bahan api yang digunakan untuk penjanaan elektrik.

Bahan api lain adalah arang batu, hidro dan tenaga boleh diperbaharui (RE).

Penetapan harga pasaran LNG pula yang dibekalkan di Semenanjung berkait dengan nilai eksport LNG dari Bintulu dan harga Japan Customs-Cleared Crude (JCCC) yang mana kesan penurunan harga minyak kepada harga gas akan hanya berlaku dalam tempoh lima hingga tujuh bulan, seperti dijelaskan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA).

Ketika ini, gas asli berpaip yang dibeli daripada PETRONAS ditetapkan pada harga subsidi RM15.20/mmBtu berbanding harga pasaran semasa iaitu RM38.00/mmBtu seperti ditetapkan ketika semakan tarif pada 1 Januari 2014. LNG pula dibeli pada harga pasaran yang lebih tinggi, iaitu sekitar RM45.837/mmBtu pada suku keempat 2014 daripada harga ketika semakan tarif, RM41.68/mmBtu.

Pergantungan industri penjanaan tenaga kepada LNG pada 2014 adalah 19 peratus, manakala pada suku pertama 2015 dianggarkan 17 peratus. Penggunaan gas asli berpaip bagaimanapun agak tinggi iaitu 47 peratus pada tahun lalu dan 46 peratus pada suku pertama tahun ini.

Justeru, selagi harga gas tidak turun, maka sukar untuk menurunkan tarif elektrik, kata seorang penganalisis tenaga di firma broker tempatan.

Dalam pada itu, penurunan harga arang batu juga tidak mempunyai kesan langsung kepada tarif elektrik. Walaupun harga arang batu turun kepada AS$70 setan, rendah daripada harga asas bagi penetapan tarif pada 1 Januari 2014 iaitu AS$87.50 satu tan.

Namun, ia tidak dapat menampung harga LNG yang masih tinggi. Penyusutan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) juga sebahagian besarnya menjejaskan faedah yang diperoleh syarikat utiliti itu daripada penurunan harga arang batu.

Pada 1 Januari 2014, kerajaan mengumumkan Pelepasan Kos Bahan api dan Penjanaan (ICPT). Mengikut mekanisme ini harga gas akan dibincangkan setiap enam bulan, sekali pada Julai 2014 dan sekali lagi Januari tahun ini, dengan kenaikan RM1.50 setiap kali.

Bagaimanapun, sejajar pengumuman kerajaan untuk menangguhkan semakan semula tarif, pelaksanaan ICPT juga ditangguhkan hingga 2016 bagi mengurangkan impak penurunan harga minyak terhadap ekonomi negara.

KeTTHA pada November lalu menjelaskan kenaikan kos ICPT bagi tempoh Januari 2014 hingga 30 Jun 2015 akan diserap kerajaan menerusi penjimatan daripada hasil rundingan semula Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan Penjana Tenaga Bebas Generasi Pertama.

Sejajar keputusan kerajaan tidak menaikkan harga gas, PETRONAS akan kehilangan pendapatan sebanyak RM836 juta dalam tempoh Julai 2014 hingga Jun 2015. Kos ICPT bagi tempoh Januari-Jun 2014 adalah RM465.94 juta manakala dalam tempoh Julai-Disember 2014 sebanyak RM382.03 juta.

Keseluruhannya penjimatan adalah sebanyak RM847.96 juta atau kenaikan tarif sebanyak 1.62 sen/kWh, yang diserap kerajaan menerusi penjimatan rundingan semula PPA.

Bagaimanapun, selepas menyerap kos ICPT untuk mengekalkan tarif semasa, baki penjimatan PPA adalah RM170 juta yang mana ia tidak cukup untuk terus menampung komponen kos ICPT lain pada masa depan.

Sehubungan itu, subsidi bagi gas asli berpaip membolehkan kerajaan mengekalkan tarif elektrik yang rendah. Tarif elektrik purata semasa di Semenanjung adalah 38.53 sen/kWj berbanding kos sebenar dalam lingkungan 43.00 sen/kWj.

Berita Harian X