Khamis, 12 Februari 2015 | 8:14pm
TNB berkata, keputusan kerajaan untuk mengurangkan tarif elektrik tidak memberi kesan ke atas syarikat itu, menganggapnya sebagai proses perniagaan biasa. - Foto hiasan
TNB berkata, keputusan kerajaan untuk mengurangkan tarif elektrik tidak memberi kesan ke atas syarikat itu, menganggapnya sebagai proses perniagaan biasa. - Foto hiasan

Penurunan tarif elektrik tidak jejaskan TNB - CEO

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) berkata, keputusan kerajaan untuk mengurangkan tarif elektrik tidak memberi kesan ke atas syarikat itu, menganggapnya sebagai proses perniagaan biasa.

"Kami bersikap neutral mengenainya sebab ini adalah sebahagian daripada rangka kerja kawal selia ekonomi yang dipanggil Peraturan Berasaskan Insentif (PBI).

"Di bawah PBI, apa sahaja mengenai harga bahan api dan sebagainya akan dikaji semula setiap enam bulan. Ia tiada kena mengena dengan harga saham dan keuntungan asas kami," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Ir Azman Mohd ketika diminta mengulas mengenai kesan penurunan tarif itu pada Sidang Kemuncak CAP10 CEO Asean di sini, hari ini.

Azman berkata, PBI merangkumi dua komponen, iaitu kos berkaitan bahan api atau mekanisme pelepasan kos tidak seimbang (ICPT) dan tarif asas.

Mekanisme ICPT membolehkan TNB mencerminkan perubahan, sama ada kenaikan atau pengurangan kos bahan api yang tidak terkawal dalam tarif elektrik setiap enam bulan manakala tarif asas dikaji semula setiap tiga tahun, mengambil kira kos TNB untuk menjana elektrik dan pendapatan yang sepatutnya diperoleh.

"Kajian semula tarif asas ialah pada 2018 dan ini biasanya akan memberi kesan kepada kami," katanya.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili semalam mengumumkan keputusan Kabinet untuk menurunkan tarif elektrik sebanyak 2.25 sen setiap kilowatt/jam untuk pengguna di Semenanjung Malaysia mulai 1 Mac hingga 30 Jun 2015.

TNB juga mengumumkan untuk Sabah dan Labuan, tarif itu akan dikurangkan sebanyak 1.2 sen setiap kW/j (turun 3.5 peratus) dan tarif purata akan turun daripada 34.52 sen/kWh kepada 33.32 sen/kWj. - BERNAMA

Berita Harian X