Sabtu, 14 Februari 2015 | 12:01pm

MAHB raih untung kasar RM834.171 juta

BADLISHAM bersama Ketua Pegawai Kewangan MAHB, Faizal Mansor (kanan) ketika menyampaikan taklimat media mengenai keputusan kewangan MAHB untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014, semalam. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
BADLISHAM bersama Ketua Pegawai Kewangan MAHB, Faizal Mansor (kanan) ketika menyampaikan taklimat media mengenai keputusan kewangan MAHB untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014, semalam. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mencatat keuntungan sebelum cukai RM834.171 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014, melonjak 50.8 peratus daripada RM553.168 juta yang dicatat pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Syarikat itu dalam satu kenyataan, berkata lonjakan dalam keuntungan bersih dipacu oleh pertumbuhan memberangsangkan dalam segmen operasi lapangan terbang dan operasi bukan lapangan terbang.

"Bagi segmen operasi lapangan terbang, MAHB merekodkan aliran penumpang 4.7 peratus lebih tinggi kepada 83.3 juta orang tahun lalu dan pendapatan aeronautik meningkat sebanyak 10.7 peratus kepada RM1.34 bilion.

"Segmen bukan operasi lapangan terbang seperti projek, pembaikan dan penyelenggaraan; perhotelan dan pertanian merekodkan pendapatan RM171.6 juta tahun, meningkat 24.5 peratus daripada RM137.8 juta yang dicatatkan tahun sebelumnya," katanya.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014, MAHB bagaimanapun mencatat pendapatan RM3.34 bilion, susut 18.4 peratus daripada RM4.1 bilion yang diraih pada tahun sebelumnya.

Bagi suku keempat tahun lalu, keuntungan bersih MAHB melonjak 1,697 peratus kepada RM662.88 juta berbanding RM36.9 juta tahun sebelumnya, disokong keuntungan daripada pengukuran semula nilai tara pelaburan berjumlah RM502.5 juta.

Pergerakan penumpang

Mengulas lanjut, Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali, berkata pencapaian kewangan memberangsangkan syarikat disokong pertumbuhan 4.7 peratus dalam pergerakan penumpang.

"Kali pertama pergerakan penumpang yang melebihi paras 80 juta orang walaupun industri berdepan beberapa tragedi yang menjejaskan sentimen. Namun, ada pemulihan progresif dalam perjalanan udara menjelang akhir tahun ini," katanya.

Beliau berkata, jumlah pergerakan pesawat meningkat 7.3 peratus kepada 791,577 manakala pergerakan kargo meningkat lapan peratus kepada 1.011 tan, pengendalian kargo tertinggi menerusi lapangan terbang yang dikendalikan MAHB sejak tahun 2006.

Bagi prospek tahun ini, Badlisham berkata, penurunan harga minyak dapat membantu merangsang permintaan perjalanan udara pada tahun 2015 dengan keuntungan syarikat penerbangan juga akan meningkat selain ia menggalakkan kadar tambang lebih rendah.

"Berdasarkan kepada faktor semasa, kami menjangkakan aliran penumpang tahun ini adalah 85.8 juta, meningkat tiga peratus berbanding tahun lalu," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sasaran indeks Petunjuk Prestasi Utama (KPI) keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) MAHB tahun ini adalah RM1.52 bilion, termasuk RM642 juta disumbangkan daripada operasinya di Turki.

Tahun lalu, syarikat itu merekodkan EBITDA RM861.4 juta.

Berita Harian X