X
Khamis, 12 March 2015 | 4:41pm

Dagangan ASEAN diunjur naik lebih 3 peratus

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan keseluruhan perdagangan ASEAN dijangka melebihi paras tiga peratus tahun ini, lebih tinggi daripada purata pertumbuhan perdagangan global yang diunjurkan antara dua hingga tiga peratus, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

"ASEAN adalah pasaran yang berkembang. Kita yakin, dengan pertumbuhan pesat ekonomi ASEAN berbanding negara dunia lain, pertumbuhan dagangannya akan meningkat melebihi daripada purata dunia," katanya pada Forum Perniagaan Asia 2015 di sini, semalam.

Tahun lalu purata perdagangan dunia berkembang pada kadar 5.9 peratus.

Mustapa berkata, ASEAN dijangka beransur-ansur meningkatkan penguasaan pasaran dalam aliran pelaburan langsung asing (FDI) global kepada antara 11 hingga 12 peratus berbanding 10 peratus ketika ini.

Beliau berkata, pada 2013 aliran FDI ke ASEAN berjumlah AS$122.38 bilion (RM449.93 bilion), separuh daripadanya ke Singapura, manakala Malaysia berada di tangga keempat dengan penerimaan FDI sebanyak AS$12.297 bilion (RM45.21 bilion).

FDI dari negara ASEAN ke negara ASEAN yang lain, katanya, masih lagi kecil iaitu sebanyak AS$21.32 bilion (RM78.38 bilion) berbanding RM101.056 bilion (RM371.53 bilion) FDI dari negara bukan ASEAN.

Mustapa berkata, pihaknya yakin Malaysia akan menerima lebih banyak pelaburan dari negara ASEAN tahun ini, khususnya Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina, berikutan kemajuan dalam landskap perniagaan dan kestabilan ekonomi serantau yang berterusan.

Tahun lalu, jumlah pelaburan diluluskan di Malaysia berjumlah RM235.9 bilion, yang adalah rekod tertinggi baru berbanding RM219.4 bilion pada 2013, katanya.

Beliau berkata, syarikat multinasional harus melihat ASEAN sebagai rantau tunggal, selaras kewujudan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) tahun ini.

Berita Harian X