Isnin, 23 March 2015 | 1:53pm

Saham KL tinggi pada tengah hari

KUALA LUMPUR: Harga saham di Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi lebih tinggi hari ini, didorong keuntungan diraih kaunter saham Kuala Lumpur Kepong (KLK) dan yang berkaitan Petronas.

Bagaimanapun, keuntungan itu dijejaskan oleh kerugian dicatat kaunter kewangan.

Pada waktu rehat, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 1.7 mata kepada 1,805.35, selepas berlegar antara 1,797.09 dan 1,811.08, sepanjang sei pagi ini.

KLK menokok 24 sen kepada RM22.76, Petronas Chemicals naik 23 sen kepada RM5.35 manakala Petronas Dagangan meningkat 22 sen kepada RM19.38.

Dalam pada itu, Hong Leong Capital menyertai senarai kaunter rugi apabila merosot 48 sen kepada RM9.80 dan Public Bank turun 12 sen kepada RM18.48.

Di papan skor, Indeks FBM Emas naik 13.7 mata kepada 12,397.94, Indeks FBMT100 meningkat 13.9 mata kepada 12,093.03, FBM Emas Syariah naik 32.97 mata kepada 13,016.87.

FBM 70 mengukuh 24.89 mata kepada 13,317.93 manakala FBM Ace menokok 25.58 mata kepada 6,940.75.

Mengikut sektor, Indeks Perusahaan menokok 8.88 mata kepada 3,330.3, Indeks Perladangan naik 2.06 mata kepada 7,804.11 manakala Indeks Kewangan merosot 17.03 mata kepada 15,951.42.

Kaunter untung mengatasi rugi iaitu 351 berbanding 315 dengan 301 kaunter tidak berubah, 804 kaunter tidak diniagakan manakala 11 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.13 bilion saham bernilai RM679.46 juta.

Antara saham aktif termasuk Privasia yang menokok 3.5 sen kepada 33.5 sen, Talam Transform dan Jadi Imaging masing-masing naik satu sen kepada sembilan sen dan 10 sen, Eti Tech dan Globaltec masing-masing meningkat setengah sen kepada 11 sen dan 7.5 sen.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank dan Axiata masing-masing susut satu sen kepada RM9.14 dan RM7.03, TNB rugi 14 sen kepada RM14.46 manakala Sime Darby menokok empat sen kepada RM9.30. - BERNAMA

Berita Harian X