Sabtu, 28 March 2015 | 11:45am

Respons terhadap AIIB bukti jelas pengukuhan Asia - Najib

DATUK Seri Najib Razak ketika menyampaikan ucapan pada Persidangan Tahunan Forum Boao bagi Asia 2015 di sini hari ini. - Foto BERNAMA
DATUK Seri Najib Razak ketika menyampaikan ucapan pada Persidangan Tahunan Forum Boao bagi Asia 2015 di sini hari ini. - Foto BERNAMA

BOAO, (Hainan, China): Minat besar ke atas Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB) merupakan bukti jelas mengenai pengukuhan Asia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Oktober lalu, Malaysia merupakan antara 21 negara yang menandatangani penubuhan AIIB.

Bank itu mengunjurkan angka berkenaan mungkin meningkat kepada 35 dalam tempoh terdekat.

Dalam tempoh beberapa minggu lepas, Britain, Jerman, Perancis dan Itali bersetuju menjadi anggota pengasas.

"Ekonomi terbesar Eropah menaruh keyakinan penuh bahawa AIIB akan memain peranan besar dalam mencorak masa depan. Dan mereka tidak mahu ketinggalan dalam merebut peluang tersedia," katanya pada Forum Boao bagi Asia 2015 (BFA), di sini, hari ini.

Asia sudah pun membuktikan kekuatan dan daya tahannya, menangani krisis kewangan jauh lebih baik berbanding ekonomi yang lain disebabkan rantau ini melakukannya bersama-sama.

Dagangan sesama anggota Asia semakin mantap - malah di peringkat global, ia merupakan laluan dagangan paling pesat berkembang - dan pada 2013, Asia menyumbang kira-kira 25 peratus daripada jumlah eksport tahunan.

"Ya... kami mempunyai kepelbagaian, dari aspek budaya, kaum dan agama. Lihat apa yang mampu kami lakukan bersama-sama," kata Najib.

"Sebagai antara anggota pengasas AIIB, kami mahu memeteri Artikel Persatuan pada Jun," katanya dan menambah AIIB akan mewujudkan dana besar yang boleh digunakan untuk membangunkan infrastruktur di seluruh Asia, khususnya di ASEAN.

Ini merupakan lawatan rasmi kelima Perdana Menteri ke China dan kali pertama pada forum ini yang bermodelkan Forum Ekonomi Dunia yang bersidang setiap tahun di Davos, Switzerland.

BFA beralamat tetap di Boao, bandar bersebelahan bandar raya tepi pantai Qionghai di Hainan, China.

Perdana Menteri berkata demikian pada pembukaan sesi pleno BFA bertema : 'Asia's New Future: Towards a Community of Common Destiny'. Sesi itu dirasmikan oleh Presiden China, Xi Jinping.

Najib yang juga Menteri Kewangan yakin matlamat bersama bukan lagi sekadar impian, malah dalam genggaman, menggunakan ramuan yang tepat serta semangat yang tinggi.

Bagi Malaysia, beliau berkata tema BFA sangat bersesuaian.

"Kami mempengerusikan ASEAN tahun ini dan tema merealisasikan matlamat bersama Asia melengkapkan visi untuk menubuhkan Komuniti ASEAN menjelang akhir 2015.

"Kami yakin menerusi usaha sama, menghormati prinsip toleransi, dialog, moderasi, ketahanan dan ketrangkuman, serta memberi tumpuan kepada rakyat - seperti impian Presiden Xi Jinping - cara inilah kita dapat mengekalkan pertumbuhan dan membangunkan kemakmuran bersama," kata Najib yang menamatkan lawatan kerja dua harinya hari ini.

"Rakyat Kita, Komuniti Kita, Visi Kita' dipilih sebagai tema oleh Malaysia yang mempimpin ASEAN.

"Semua pembangunan mesti terangkum dan tiada komuniti dipinggirkan atau ketinggalan. Kami akan memastikan penekanan saksama diberikan ke atas usaha pembangunan ekonomi mampan dan saksama," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X