Rabu, 1 April 2015 | 5:26pm

Boustead Plantations mahu tambah simpanan tanah

KUALA LUMPUR: Boustead Plantations Bhd akan terus menambah baik prospek jangka panjang syarikat dengan meningkatkan nilai aset perladangan dan meluaskan simpanan tanah dan meningkatkan kecekapan operasi.

Naib Pengerusinya, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, berkata syarikat itu akan memperluaskan pengurusan ladang secara lebih cekap menggunakan kaedah tuaian moden, selain mengguna pakai sistem pembajaan yang lebih efisyen.

Katanya, syarikat akan memperluas simpanan tanahnya sebanyak 20 peratus dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, daripada 83,400 hektar yang ada sekarang.

Walaupun syarikat menerima tawaran daripada negara seperti Filipina dan Papua New Guinea untuk membangunkan ladang, Malaysia kekal sebagai pilihan utama disebabkan kestabilan politiknya, kesuburan tanah serta cuaca.

"Isu (kepada) kami mungkin lebih kepada tidak cukup pekerja di ladang. Bagaimanapun, kami sudah mengatasinya dengan melaksanakan penggunaan jentera dalam pelbagai proses," katanya selepas mesyuarat agung tahunan, di sini hari ini.

Lodin berkata syarikat juga mahu menjadi lebih cekap kos berikutan tahun ini diunjur sebagai tahun mencabar untuk sektor perladangan.

Pada masa ini harga minyak sawit mentah (MSM) menghadapi cabaran antaranya bekalan kacang soya yang banyak, iaitu pesaing terbesarnya.

Selain itu, permintaan terhadap komoditi itu juga jatuh berikutan China dan India mengurangkan pembelian dan menyebabkan inventori yang tinggi.

"Kami unjur harga MSM didagangkan antara RM2,300 dan RM2,400 setan dengan inventori lebih rendah," kata Lodin.

Beliau berkata paras inventori MSM susut kepada 1.74 juta tan daripada 2.17 tan tahun lalu.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014, Boustead Plantations mencatat keuntungan operasi lebih baik pada RM90 juta daripada RM76 juta setahun lalu, didorong oleh harga produk sawit dan pengeluaran MSM yang lebih tinggi. Ia mencatat perolehan sebanyak RM717 juta.

Untuk tahun pertama sebagai entiti yang disenaraikan, syarikat mengumumkan dividen bersih tahun penuh enam sen sesaham, membabitkan pembayaran RM96 juta dan kadar hasil dividen empat peratus berdasarkan harga penutup untuk tahun berkenaan.

Berita Harian X