Jumaat, 3 April 2015 | 11:55am

Kapasiti TNB Janamanjung meningkat kepada 3,100MW bulan ini

PENGARAH Urusan, TNB Janamanjung Sdn. Bhd., Shamsul Ahmad (kiri sekali) menerima sijil BCM ISO 22301:2012 daripada Pengarah Urusan, SIRIM QAS International, Khalidah Mustafa. - Foto ihsan TNB
PENGARAH Urusan, TNB Janamanjung Sdn. Bhd., Shamsul Ahmad (kiri sekali) menerima sijil BCM ISO 22301:2012 daripada Pengarah Urusan, SIRIM QAS International, Khalidah Mustafa. - Foto ihsan TNB

KUALA LUMPUR: TNB Janamanjung Sdn Bhd (TNB Janamanjung), anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB) baru-baru ini menerima pensijilan Pengurusan Kesinambungan Bisnes ISO 22301:2012, menjadikannya stesen janakuasa Malaysia yang pertama mendapat pensijilan itu.

Pensijilan itu yang turut diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) adalah fasa lanjutan selepas Pensijilan Publicly Available Specification for Asset Management (PAS 55-1: 2008) yang diterima pada tahun 2013.

Satu majlis penyerahan sijil oleh SIRIM QAS International dan Malaysia Book of Records diadakan di Manjung.

Majlis dihadiri oleh Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie, Presiden merangkap Ketua Pegawai Esksekutif TNB, Datuk Seri Ir Azman Mohd serta ahli Lembaga Pengarah TNB Janamanjung termasuk Zainudin Ibrahim yang juga Naib Presiden (Penjanaan) TNB.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Pasir Panjang, Datuk Rashidi Ibrahim.

Sijil BCM ISO 22301:2012 dan Malaysia Book of Records diserahkan masing-masing oleh Pengarah Urusan, SIRIM QAS International, Khalidah Mustafa dan Ketua Penyelidikan Malaysia Book of Records, Leona Paul kepada Pengarah Urusan TNB Janamanjung, Shamsul Ahmad.

Shamsul berkata pengiktirafan itu diterima hasil daripada amalan yang lebih teratur, efektif dan sistematik dari segi pengurusan risiko, analisa impak perniagaan, kecekapan persediaan dalam pemulihan semula operasi dan pengurangan impak gangguan kepada operasi.

"Latihan dan pelaksanaan amalan berkenaan yang bermula sejak April 2014 membolehkan TNB Janamanjung untuk mempamerkan pengurusan risiko, pengurusan krisis dan perancangan pemulihan yang lebih efektif dan komprehensif.

"Ini sekali gus membantu TNB Janamanjung untuk menyampaikan perkhidmatan yang terbaik sekiranya berlakunya gangguan operasi," katanya.

TNB Janamanjung, stesen janakuasa terbesar di Malaysia dengan keluasan 325 hektar, ketika ini mempunyai keupayaan penjanaan sebanyak 2,100 megawatt (MW).

Menjelang April 2015, keupayaan penjanaan stesen ini akan meningkat kepada 3,100MW setelah loji Janakuasa Manjung 4 beroperasi sepenuhnya.

Berita Harian X