Rabu, 8 April 2015 | 7:02pm

Taman Tema Animasi Perak siap tahun depan

PENGASAS RSG Ramelle Ramli (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Movies Animation Park Studios (MAPS), Darren Mclean (kanan) menerangkan mengenai projek Taman Tema Animasi pada sidang media di Cathay Cineplex eCurve Damansara hari ini. - Foto BERNAMA
PENGASAS RSG Ramelle Ramli (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Movies Animation Park Studios (MAPS), Darren Mclean (kanan) menerangkan mengenai projek Taman Tema Animasi pada sidang media di Cathay Cineplex eCurve Damansara hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Movie Animation Park Studios (MAPS), taman tema berkonsepkan animasi pertama seumpamanya di Asia yang terletak di Ipoh, akan beroperasi pada suku pertama 2016 apabila fasa pertamanya dijadualkan siap dalam tempoh itu.

Fasa pertama taman tema yang dibangunkan oleh Animation Theme Park Sdn Bhd itu membabitkan pelaburan sebanyak RM450 juta.

Animation Theme Park Sdn Bhd adalah syarikat tujuan khas yang mana 51 peratus ekuitinya dimiliki syarikat tempatan, RSG MAPS manakala 49 peratus lagi oleh Perak Corporation Bhd.

Pengerusi dan Pengasas RSG, Ramelle Ramli, berkata kerja pembinaan taman tema itu yang terletak di tapak seluas 21 hektar berhampiran Lebuh Raya Utara Selatan, kini sudah siap antara 40 hingga 45 peratus.

"Apabila beroperasi kelak, kami menyasar kedatangan hingga 1.5 juta pengunjung setahun dengan 17 hingga 18 peratus daripadanya adalah pelancong asing.

"Lokasi taman tema ini adalah strategik kerana sangat berhampiran dengan plaza tol Jelapang, hanya tiga minit dari terminal Ipoh Sentral serta 20 minit dari lapangan terbang serta stesen keretapi. Ia bakal menjadi daya tarikan baharu perhentian keluarga di kawasan utara Semenanjung Malaysia," katanya pada sidang media mengumumkan kerjasama keduanya bersama syarikat animasi tempatan, MONSTA yang menghasilkan siri animasi popular BoBoiBoy.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Animation Theme Park, Darren McLean.

MONSTA menjadi karakter animasi pertama tempatan yang menyertai keluarga animasi MAPS selepas taman tema itu menjalin kerjasama dengan syarikat animasi kedua terbesar dunia, DreamWorks.

Antara karakter animasi popular DreamWorks seperti Mr Peabody and Sherman, The Croods, Megamind serta Casper the Friendly Ghost dijangka akan menjadi antara tarikan utama MAPS apabila beroperasi kelak.

Ramelle yang juga Pengarah Animation Theme Park berkata, secara keseluruhannya MAPS menawarkan hingga 40 daya tarikan kepada pengunjung, termasuk 23 permainan yang berkonsepkan animasi.

"Paling menarik, kami menyediakan MAPS TV yang dipancarkan secara langsung kepada pengunjung bagi semua jenis daya tarikan berkenaan," katanya.

Berita Harian X