Khamis, 23 April 2015 | 4:44pm

Malaysia berupaya tangani kejutan luar, cabaran - Zeti

ZETI Akhtar berucap berucap pada persidangan Invest Malaysia 2015. - Foto Ghazali Kori
ZETI Akhtar berucap berucap pada persidangan Invest Malaysia 2015. - Foto Ghazali Kori

KUALA LUMPUR: Malaysia berjaya menunjukkan keupayaannya untuk menangani kejutan luar dan cabaran lebih daripada sekali, kata Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Zeti berkata negara berada pada kedudukan yang kukuh untuk mengurus cabaran luaran berikutan pembaharuan kewangan dan penyusunan semula ekonominya yang dilaksanakan dalam dua dekad ini.

"Selama beberapa dekad, Malaysia telah menunjukkan secara berulang kali keupayaan untuk menangani kejutan harga komoditi, krisis kewangan dan kesan sampingan daripada masalah dari kawasan lain di dunia.

"Bagi setiap kejutan utama yang dihadapi ekonomi kita, Malaysia mempunyai pemulihan berbentuk 'V', pada dasarnya mencerminkan fleksibiliti ekonomi untuk menyelaras dan tindak balas dasar yang awal dan menyeluruh," katanya berucap pada persidangan Invest Malaysia 2015 selama dua hari di sini hari ini.

Persidangan itu adalah anjuran bersama Bursa Malaysia dan CIMB Group.

Beliau berkata asas-asas kukuh di Malaysia turut termasuk kadar inflasi yang rendah, tahap pengangguran yang juga rendah, rizab antarabangsa yang mencukupi, kadar simpanan yang tinggi dan paras hutang luar negeri yang boleh diurus dengan majoritinya dalam tempoh sederhana dan jangka panjang serta dengan lebih 40 peratus dalam denominasi ringgit.

Persekitaran operasi semasa adalah mencabar berikutan ketidaktentuan tempoh perubahan dasar ekonomi global yang memberi kesan kepada Malaysia melalui perdagangan dan aliran modal, katanya.

Ekonomi Malaysia diunjurkan kekal kukuh pada tahun ini, dengan pertumbuhan dijangka antara 4.5 dan 5.5 peratus, dipacu oleh permintaan domestik, yang akan diterajui oleh aktiviti sektor swasta yang kukuh yang kini menguasai 70 peratus ekonomi.

Mengenai landskap pelaburan, Zeti berkata wujudnya bidang pertumbuhan baharu, seperti tenaga boleh diperbaharui dan semikonduktor dalam segmen yang berkembang pesat seperti automotif, peralatan perubatan dan telekomunikasi, membolehkan Malaysia termasuk dalam rantaian bekalan global.

"Pelaburan dalam sektor pembuatan menuju ke arah aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi, beralih daripada pengeluaran asas dan pemasangan untuk menghasilkan barangan yang mempunyai aplikasi canggih seperti dalam sektor penjagaan kesihatan dan automotif.

"Ini bukan saja menjana pekerjaan berkemahiran tinggi, tetapi pelaburan ini membolehkan pemindahan teknologi dan penggunaan automasi yang lebih tinggi dalam ekonomi Malaysia," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X