Khamis, 7 Mei 2015 | 1:41pm

Tabung Haji labur RM188.5j bina menara kediaman di TRX

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) membeli sebidang tanah bernilai RM188.5 juta di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX) milik 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bagi pembangunan sebuah menara kediaman.

Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Johan Abdullah, berkata pembelian itu adalah sejajar dengan strategi pelaburan hartanah TH yang memberikan tumpuan kepada sektor domestik.

"Pelaburan ini adalah keputusan komersial yang menepati selera risiko dan telah melalui semua proses penilaian dalaman yang terperinci.

"Pembelian hartanah pada harga RM188.5 juta adalah pada kadar diskaun berlandaskan nilai pasaran semasa dan ia telah dinilai oleh sebuah badan penilai bebas profesional," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Cadangan pembangunan kediaman itu akan dibangunkan oleh anak syarikat TH, TH Properties Sdn Bhd yang dijangka memberi pulangan positif kepada Kumpulan TH pada masa hadapan.

Bagaimanapun TH menafikan pembelian Signature Tower (Fasa 2) seperti yang dilaporkan beberapa blog tertentu.

"Kebocoran maklumat melalui kertas cadangan tidak boleh dijadikan sebagai bukti keputusan muktamad pelaburan itu.

"TH akan terus meneroka peluang pelaburan yang seumpamanya di dalam pasaran domestik seperti yang digaris dalam rangka kerja Alokasi Aset Strategik," katanya.

Tabung Haji adalah sebuah badan berkanun yang diperbadankan di bawah Akta Lembaga Tabung Haji, 1995 (Akta 535). Aktiviti utama TH adalah dalam pengurusan haji, tabungan dan pelaburan.

Antara sektor pelaburan terasnya adalah kewangan Islam, perladangan, hartanah, pembinaan, teknologi maklumat, minyak & gas, hospitaliti, perkhidmatan dan makanan halal. TH mempunyai 120 buah cawangan di seluruh negara dan satu cawangan di Jeddah, Arab Saudi.

Beberapa laporan sebelum ini menyebut, TH akan membeli dua lot tanah di TRX membabitkan pertimbangan keseluruhan RM772 juta.

TRX, pusat perniagaan baharu seluas 70 ekar di pusat bandar Kuala Lumpur adalah satu daripada dua hartanah utama 1MDB. Satu lagi projek hartanahnya ialah Bandar Malaysia di tapak bekas lapangan terbang di Sungai Besi.

Mengikut laporan sebelum ini, TH dikatakan membeli satu lot tanah di TRX pada pertimbangan RM2,860 sekaki persegi dengan peruntukan keseluruhan RM194 juta untuk dibangunkan sebuah pangsapuri khidmat setinggi 40 tingkat.

Sementara satu lot lagi akan dibeli pada pertimbangan RM3,900 sekaki persegi membabitkan pertimbangan RM578 juta yang akan dibangunkan dengan sebuah menara 74 tingkat dikenali 'Signature Tower'.

Berita Harian X