Selasa, 12 Mei 2015 | 5:02pm

RM9b LRT3 Bandar Utama-Klang diunjur siap Ogos 2020

PENGERUSI Prasarana Malaysia Berhad Tan Sri Ismail Adam (kanan) melancarkan cadangan jajaran aliran LRT 3 (LRT3) hari ini. Turut hadir Azmi (tengah) dan Pengarah Pembangunan Projek Kumpulan Prasarana Datuk Zohari Sulaiman.- Foto BERNAMA
PENGERUSI Prasarana Malaysia Berhad Tan Sri Ismail Adam (kanan) melancarkan cadangan jajaran aliran LRT 3 (LRT3) hari ini. Turut hadir Azmi (tengah) dan Pengarah Pembangunan Projek Kumpulan Prasarana Datuk Zohari Sulaiman.- Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pembinaan Transit Aliran Ringan Laluan 3 (LRT3) dari Bandar Utama ke Johan Setia, Klang dijangka bermula tahun depan.

Pengarah Urusan Prasarana Malaysia Bhd, Azmi Abdul Aziz, berkata kos pembinaan tidak termasuk kos belian tanah laluan baharu itu dijangka berjumlah RM9 bilion.

Beliau berkata, pembinaan laluan LRT3 sepanjang 35 kilometer itu dijangka siap sepenuhnya menjelang 31 Ogos 2020.

Katanya, projek itu dibangunkan sejajar dengan Pelan Pembangunan Rel Bandar di bawah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.

Ia juga, jelasnya, adalah sebahagian daripada Pelan Induk Nasional Pengangkutan Awam Darat ke arah pembangunan sistem pengangkutan awam darat yang cekap, berkesan, bersepadu dan mapan bagi meningkatkan tahap sosio-ekonomi dan kualiti hidup yang lebih baik.

Beliau berkata demikian pada sidang media bagi mengumumkan sesi pemeriksaan awam berkenaan projek berkenaan sini hari ini.

Sesi pemeriksaan awam itu akan diadakan bermula Jumaat ini hingga 14 Ogos depan bagi mendapat maklum balas daripada orang ramai mengenai cadangan pembinaan LRT3.

Berita Harian X