Rabu, 27 Mei 2015 | 1:48pm

Kwasa Land umum 2 lagi projek untuk pemaju Bumiputera

PETALING JAYA: Kwasa Land Sdn Bhd, pemaju induk perbandaran baharu Kwasa Damansara mengumumkan dua lagi pembangunan kediaman, R3-3 dan R3-4 untuk pemaju Bumiputera yang akan dipilih pada peringkat prakelayakan.

Plot pembangunan kediaman di tapak berkenaan masing-masing seluas 6.52 ekar dan 3.91 ekar adalah sebahagian daripada pembangunan keseluruhan Kwasa Damansara di tapak seluas 2,330 ekar.

Kwasa Land, anak syarikat milik penuh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), membeli tanah Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRI) di Sungai Buloh daripada kerajaan bernilai RM2.28 bilion pada 2012 untuk dibangunkan sebagai perbandaran Kwasa Damansara untuk tempoh 20 tahun akan datang.

Syarikat itu dalam kenyataan di sini hari ini berkata, harga petunjuk di plot R3-3 ialah RM125 sekaki persegi bagi tanah pajakan manakala harga rujukan di plot R3-4 ialah RM135 sekaki persegi dengan status pegangan bebas.

Tawaran kepada pemaju Bumiputera untuk bida prakelayakan sudah dikeluarkan dan permohonan bagi dokumen tender Kebenaran Merancang (RFP) akan ditutup pada 10 Julai depan.

Dalam tempoh 14 bulan lalu, pembangunan perbandaran itu sudah dibuka kepada tiga kategori pemaju untuk pelbagai peringkat kerjasama dengan Kwasa Land.

Tiga peringkat pemaju berkenaan adalah syarikat besar dengan modal berbayar RM1 bilion (Tier 1); syarikat dengan modal berbayar RM300 juta (Tier 2) dan peringkat ketiga (Tier 3) adalah syarikat Bumiputera dengan modal berbayar RM1 juta dan lebih.

Hingga kini, Kwasa Land sudah mengeluarkan bidaan untuk empat RFP iaitu pembangunan pusat bandar MX-1 untuk kategori Tier 1, pembangunan kediaman pertama R2-1 untuk Tier 2 dan pembangunan Bumiputera pertama R3-2 dan kini pembangunan kediaman R3-3 dan R3-4 untuk kategori Bumiputera.

Kedudukan Kwasa Damansara yang strategik dengan dua stesen My Rapid Transit (MRT), dihubungi menerusi empat lebuh raya dan hampir dengan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang (SkyPark) menjadikan hartanahnya bernilai tinggi.

Berita Harian X