X
Khamis, 28 Mei 2015 | 7:50pm

Maybank untung bersih RM1.70b suku pertama 2015

KUALA LUMPUR: Malayan Banking Bhd (Maybank) mencatat keuntungan bersih RM1.70 bilion pada suku pertama berakhir 31 Mac 2015, peningkatan 6.2 peratus daripada RM1.60 bilion yang dicatat pada tempoh sama sebelumnya.

Ia diraih daripada pendapatan berjumlah RM9.18 bilion berbanding RM8.35 bilion yang dicatat pada tempoh sama sebelumnya.

Prestasi memberangsangkan itu didorong peningkatan pendapatan yuran serta pertumbuhan pinjaman yang kukuh yang meningkatkan prestasi di semua teras perniagaannya.

Pengerusi Maybank, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor, berkata tahun ini fokus kumpulan perbankan itu kekal untuk mencari peluang dalam kalangan operasinya yang pelbagai bagi meningkatkan produktiviti.

"Di sebalik ketidaktentuan pasaran global yang berterusan, kami sudah melakukan permulaan yang menggalakkan pada awal tahun dan pengumuman kami baru-baru ini untuk keluar dari Papua New Guinea menunjukkan satu contoh penyelesaian untuk menghasilkan nilai," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Peningkatan pendapatan yuran yang dicatatkan dipacu oleh peningkatan dalam komisen, yuran dan caj perkhidmatan serta pendapatan premium bersih yang lebih tinggi, manakala pendapatan berasaskan dana bersih meningkat disebabkan pertumbuhan lebih besar pinjaman Islam dan konvensional.

Untuk tempoh kajian, pinjaman berkembang 14.3 peratus berbanding tempoh sama sebelumnya yang diterajui oleh sektor antarabangsa yang berkembang 19.4 peratus.

Dalam kalangan pasaran di Malaysia, Singapura dan Indonesia, pinjaman masing-masing meningkat 10.2 peratus, 11.6 peratus dan 7.1 peratus, sementara kewangan Islam meningkat 29.5 peratus.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Abdul Farid Alias, berkata prestasi suku pertama itu memberikan rangsangan yang baik serta bukti terhadap kejayaan strategi yang dilaksanakan.

Beliau berkata, pertumbuhan yang dicapai adalah hasil daripada usaha keras untuk meningkatkan pendapatan yuran serta meningkatkan tanggungjawab portfolio kewangan.

"Ini turut disokong oleh peningkatan kecairan, pengurusan modal yang proaktif dan pengurusan perbelanjaan yang ketat," katanya.

Abdul Farid berkata, tempoh seterusnya dijangkakan kekal mencabar dan pihaknya akan meneliti dengan rapi perkembangan serantau, terutama tahap aktiviti perniagaan selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di Malaysia.

"Bagaimanapun, kami kekal optimis ASEAN akan terus menyediakan peluang perniagaan yang mapan terutama dengan manfaat lebih besar yang bakal hadir daripada penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) yang bakal dilaksanakan," katanya.

Berita Harian X