Selasa, 14 Julai 2015 | 2:38pm

TERAJU peruntuk RM15j untuk pembangunan PKS di NCIA

KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) hari ini menerima peruntukan RM15 juta daripada Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).

Peruntukan itu akan digunakan untuk memacu program pembangunan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) NCIA di koridor berkenaan.

Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq, berkata dana itu akan disalurkan dalam Pusat Inovasi Komuniti (CIC), MCash dan program usahasama NCIA dengan Unit Pembangunan Usahawan Negeri Kedah (UPUK) dengan peruntukkan masing-masing RM2 juta, RM5 juta dan RM8 juta.

"Program CIC melalui perkongsian NCIA dengan Universiti Sains Malaysia bertujuan menyemai budaya inovasi sosial dalam masyarakat dan mewujudkan asas kukuh ke arah keusahawanan dan inovasi," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran program pembangunan usahawan PKS menerusi dana TERAJU di Koridor Utara yang diadakan di Putrajaya, hari ini.

Yang hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Datuk Husni Salleh.

Redza berkata program MCash pula bertujuan memperluaskan bantuan kewangan kepada syarikat yang berkecimpung dalam perniagaan sekurang-kurangnya tiga bulan, dengan had peruntukan RM30,000 bagi setiap usahawan.

Dana untuk program UPUK pula untuk mengurangkan risiko peminjaman bank dan mempercepatkan proses kelulusan pinjaman kepada usahawan, katanya.

"UPUK menyasar untuk melahirkan 500 usahawan baharu di setiap daerah di Kedah melalui program itu," katanya.

Sementara itu Abdul Wahid, yang juga Pengerusi Teraju, berkata agensi itu memperuntukkan RM15 juta bagi setiap wilayah pembangunan ekonomi.

"Tahun ini, kita memulakan pendekatan baharu iaitu kita membenarkan koridor pembangunan ini merancang program yang difikirkan sesuai untuk pembangunan ekonomi di wilayah masing-masing dengan menggunakan dana berkenaan," katanya.

Berita Harian X