Selasa, 29 September 2015 | 6:18pm

Ringgit ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Ringgit terus ditutup rendah hari ini berikutan kebimbangan terhadap pertumbuhan China dan ekonomi sedang pesat membangun, kata penganalisis.

Pada jam 5 petang, ringgit disebut harga pada 4.4540/4590 berbanding dolar AS daripada 4.4160/4240 pada Isnin.

Ringgit mencecah 4.4770 berbanding dolar pada tengah hari ini, paras terendahnya sejak Januari 1998 semasa krisis kewangan Asia sebelum naik semula ke paras 4.4540.

Ketua Penganalisis Pasaran Forex Time, Jameel Ahmad, berkata terdapat kemungkinan ringgit akan mencecah paras lebih rendah lagi minggu ini sekiranya Indeks Pengurus Pembelian (PMI) dari China lebih lemah daripada yang dijangkakan.

"Ia berpotensi untuk membawa kepada sentimen yang lebih rendah lagi secara keseluruhan.

"Bagaimanapun, pasaran sedang pesat membangun yang berdepan risiko paling tinggi kerana mereka banyak bergantung kepada perdagangan China pada ketika mereka sedang bergelut dengan penurunan harga komoditi," katanya.

Jameel juga berkata Bank Negara Malaysia digalakkan untuk menaikkan kadar faedah awal tahun depan, dengan harapan dapat membendung kenaikan risiko inflasi yang tidak dapat dielakkan dan menarik aliran masuk modal ke Malaysia.

Ringgit juga diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan terus turun berbanding dolar Singapura kepada 3.1175/1221 daripada 3.0916/0976 pada Isnin dan diniagakan rendah berbanding yen kepada 3.7126/7183 daripada 3.6711/6793 semalam.

Ringgit susut berbanding euro kepada 5.0001/0066 daripada 4.9371/9469 pada Isnin dan turun berbanding pound sterling kepada 6.7661/7759 daripada 6.7238/7382 semalam. - BERNAMA

Berita Harian X