Sabtu, 3 Oktober 2015 | 7:55pm

Pelabur asing berpeluang raih manfaat besar di Malaysia: Najib

PERDANA Menteri, Najib Razak. - Foto AFP
PERDANA Menteri, Najib Razak. - Foto AFP

MILAN: Pelabur asing berpeluang meraih faedah yang amat besar daripada melabur di Malaysia dengan menggunakan negara sebagai pintu masuk strategik bagi memanfaatkan potensi daripada penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata pelabur asing perlu 'memikirkan Malaysia bukan sahaja sebagai destinasinya sendiri, tetapi juga pintu masuk ke ASEAN'.

Berucap pada majlis sambutan Hari Malaysia di Expo Milano 2015, di sini, hari ini beliau berkata sebagai satu pasaran tunggal, ASEAN adalah ekonomi ketujuh terbesar di dunia dengan pasaran pengguna berjumlah 625 juta penduduk dan gabungan keluaran dalam negara kasar (KDNK) lebih AS$2 trilion.

Majlis anjuran Expo Milano itu juga dihadiri oleh Menteri Alam Sekitar, Darat dan Laut Itali, Gian Luca Galletti.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz turut menghadiri majlis itu.

Malaysia adalah satu daripada 147 negara menyertai pameran terbesar dunia itu yang berlangsung selama enam bulan dan diadakan lima tahun sekali. Ia bermula pada 1 Mei akan berakhir pada 30 Oktober.

Sementara itu Najib, yang juga Pengerusi ASEAN berkata: "Ekonomi-ekonomi ASEAN mencatatkan purata pertumbuhan tahunan lebih daripada lima peratus dan pendapatan per kapita pada purata US$3,800, membawa kepada pengembangan kelas pertengahan dengan peningkatan pendapatan boleh guna,".

Beliau berkata, ASEAN sudah pun menjadi tumpuan bagi pelaburan langsung asing dan adalah pemacu ekonomi sedang pesat membangun bagi ekonomi global hari ini.

"Tetapi dianggarkan sekiranya perdagangan antara ASEAN melonjak daripada 24 kepada 40 peratus, kesan kenaikan itu ke atas ekonomi ASEAN boleh jadi kira-kira US$2.5 trilion setahun - satu pengembangan yang benar-benar luar biasa," kata Najib yang berada di sini sempena lawatan kerja selama tiga hari bermula Jumaat.

Beliau berkata perkumpulan serantau itu bakal menubuhkan AEC pada akhir tahun ini.

"Dan ia bertujuan untuk mewujudkan satu pasaran tunggal dan asas pengeluaran di ASEAN, dengan wawasan yang lebih besar bagi menyepadukan lagi ekonomi rantau ini yang saiz penduduknya, gabungan KDNK dan aspirasi yang dikongsi bersama akan mewujudkan satu entiti berupaya bersaing dengan ekonomi terbesar dunia," katanya.

Najib berkata AEC, bersama rangkaian Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN dengan rakan dialog seperti China, India, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand, berfungsi sebagai insentif tokokan bagi perniagaan untuk melabur di Malaysia.

"Prospek pertumbuhan malahan menjadi lebih menarik apabila Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau dan kemungkinan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik kini semakin hampir dimuktamadkan.

"Kedua-dua perjanjian ini akan mengukuhkan Malaysia sebagai pintu masuk ke pasaran yang malahan lebih besar dan cergas," katanya yang mempunyai jadual padat hari ini termasuk menghadiri persidangan meja bulat dengan ketua-ketua industri Itali.

Najib berkata Malaysia menyambut baik hubungan rapat dengan Itali dan Kesatuan Eropah sama ada menerusi hubungan rakyat kepada rakyat atau dalam perdagangan dan pelaburan.

Terdahulu Perdana Menteri melawat pavilion Emiriah Arab Bersatu, Kazakhstan dan Itali di ekspo berkenaan dan akan melancarkan Festival Makanan Malaysia di Pavilion Malaysia malam ini. - BERNAMA

Berita Harian X