Rabu, 7 Oktober 2015 | 1:24pm

Eksport Ogos, nilai dagangan tertinggi tahun ini - MITI

KUALA LUMPUR: Jumlah dagangan Malaysia bernilai RM122.86 bilion pada Ogos 2015, susut 0.8 peratus berbanding setahun lalu.

Daripada jumlah itu, eksport meningkat 4.1 peratus kepada RM66.53 bilion manakala import susut 6.1 peratus kepada RM56.34 bilion, menjadikan lebihan sebanyak RM10.19 bilion.

Ini adalah bulan ke-214 berturut-turut lebihan dagangan sejak November 1997, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan, hari ini.

Berdasarkan perbandingan bulanan, eksport meningkat 5.2 peratus manakala import susut 7.4 peratus.

MITI berkata, eksport pada Ogos adalah nilai dagangan bulanan tertinggi yang direkodkan setakat ini tahun ini, disokong oleh peningkatan eksport ke China, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Thailand, Singapura, Vietnam, dan Filipina.

Mengikut sektor, eksport barangan perkilangan tumbuh 10.9 peratus kepada RM54.55 bilion pada Ogos, sebahagian besarnya didorong oleh peningkatan eksport barangan elektrik dan elektronik, terutama litar bersepadu elektronik.

Eksport barangan pertanian berkembang 5.5 peratus kepada RM5.98 bilion, disumbangkan oleh eksport minyak sawit yang lebih tinggi manakala eksport getah asli mentah meningkat 28.1 peratus.

Bagaimanapun, eksport barangan perlombongan susut 34.9 peratus kepada RM5.63 bilion disebabkan penurunan dalam eksport gas asli cecair dan petroleum mentah.

Eksport utama pada Ogos 2015 terdiri daripada barangan elektrik dan elektronik bernilai RM25.08 bilion, dengan 37.7 peratus terdiri daripada jumlah eksport, peningkatan sebanyak 16.7 peratus berbanding setahun lalu.

Barangan petroleum (RM4.72 bilion, 7.1 peratus, -7.1 peratus, kimia dan produk kimia (RM4.58 bilion, 6.9 peratus, +0.7 peratus), minyak sawit termasuk minyak sawit mentah, isirong, olein dan stearin minyak sawit (RM3.95 bilion, 5.9 peratus, +4.0 peratus) dan barangan perkilangan logam (RM3.05 bilion, 4.6 peratus +41.7 per).

Bagi tempoh Januari-Ogos 2015, eksport barangan perkilangan meningkat 3.0 peratus kepada RM398.12 bilion dengan 79.9 peratus daripada jumlah eskport manakala import susut 2.0 peratus kepada RM443.83 bilion. - BERNAMA

Berita Harian X