Jumaat, 23 Oktober 2015 | 4:55pm

Sektor pembuatan tunjuk prestasi sederhana 2015

KUALA LUMPUR: Sektor pembuatan Malaysia dijangka menunjukkan prestasi sederhana pada 2015 dengan pertumbuhan sebanyak 4.5 peratus berbanding 6.2 peratus pada tahun sebelumnya, disokong oleh aktiviti ekonomi domestik berdaya tahan, dalam suasana permintaan luar yang perlahan.

Kementerian Kewangan dalam laporan ekonomi 2015/2016 yang dikeluarkan hari ini berkata keluaran sektor tersebut dalam tempoh tujuh bulan pertama 2015 meyederhana kepada 4.8 peratus berbanding 6.6 peratus pada tahun sebelumnya.

Nilai jualan meningkat pada tahap marginal sebanyak 0.1 peratus kepada RM379.9 bilion bagi tempoh yang sama berbanding RM379.9 bilion pada tahun sebelumnya.

Keluaran industri berorientasikan eksport pula meningkat pada kadar lebih perlahan sebanyak 5.3 peratus (Januari-Julai 2015) berbanding 5.6 peratus tahun lepas disebabkan permintaan global yang lemah. Pengeluaran berorientasikan domestik pula menyederhana kepada 3.3 peratus daripada 9.5 peratus yang dicatat pada tahun lepas.

Menurut laporan itu, industri berorientasikan domestik mengalami impak besar berikutan prestasi yang lebih perlahan bagi kelengkapan pengangkutan dan produk makanan, namun keadaan itu diimbangi oleh prestasi lebih baik kluster berkaitan pembinaan.

Sektor pembuatan terus menarik pelaburan domestik dan asing berdasarkan projek yang diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang bernilai RM49.5 bilion dalam tempoh setengah tahun pertama 2015 berbanding RM47.4 bilion pada tahun lepas.

Menurut laporan itu juga gaji purata setiap pekerja sektor ini kekal stabil pada RM2,897 manakala produktiviti telah meningkat kepada 5.4 peratus.

Bagaimanapun, kadar penggunaan kapasiti susut sedikit kepada 75.5 peratus pada suku kedua tahun ini berbanding 80.4 peratus pada suku yang sama tahun lepas, yang mencerminkan keadaan perniagaan yang sederhana, katanya.

Dalam laporan ekonomi tersebut pengeluaran subsektor E&E berkembang 7.9 peratus dalam tempoh tujuh bulan pertama 2015, disokong terutama oleh pengeluaran barangan elektronik pengguna yang meningkat ketara sebanyak 102 peratus manakala jentera dan peralatan berkembang 5.7 peratus.

Pada masa hadapan, industri ini dijangka terus dipacu oleh penyelidikan , pengkomersilan dan inovasi melalui 'Internet of Things' serta semikonduktor berteknologi canggih.

Pertumbuhan jualan semikonduktor di peringkat global pula dijangka meningkat 3.4 peratus pada 2015, manakala jualan di Amerika Utara dan Selatan meningkat 3.7 peratus dan di Asia Pasifik berkembang tujuh peratus.

Laporan turut menyebut bahawa produk getah meningkat semula kepada 3.4 peratus sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini berbanding pertumbuhan 0.2 peratus pada tahun lepas.

Peningkatan tersebut sebahagian besarnya disumbangkan oleh peningkatan pengeluaran sarung tangan dan tayar kenderaan, yang memperoleh manfaat daripada harga bahan mentah itu yang rendah.

Di samping itu, industri berasaskan getah turut mendapat manfaat daripada pengukuhan dolar US berikutan kebanyakan kos bahan mentah adalah dalam ringgit manakala jualan dalam dolar US.

- BERNAMA

Berita Harian X