Rabu, 28 Oktober 2015 | 2:02pm

113 kilang sawit berpotensi jana elektrik

MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Douglas Uggah Embas (kanan), bersama Presiden Kumpulan Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, melintasi Loji Pengeluaran ketika Majlis Perasmian Projek Usahasama Loji Pengeluaran Komersial " Bio - Compressed Natural Gal (BIO-CNG ) ", pertama didunia menggunakan sumber biogas sawit di kilang Sawit Sungai Tengi, Kuala Kubu Baru, Selangor.- Foto Mohamad Shahril Badri Saali
MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Douglas Uggah Embas (kanan), bersama Presiden Kumpulan Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, melintasi Loji Pengeluaran ketika Majlis Perasmian Projek Usahasama Loji Pengeluaran Komersial " Bio - Compressed Natural Gal (BIO-CNG ) ", pertama didunia menggunakan sumber biogas sawit di kilang Sawit Sungai Tengi, Kuala Kubu Baru, Selangor.- Foto Mohamad Shahril Badri Saali

SERENDAH, Selangor: Kerajaan mengenal pasti 113 kilang sawit di negara ini berpotensi untuk penjanaan elektrik daripada sumber biogas kelapa sawit.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata langkah itu bagi membolehkan kilang sawit yang terletak berdekatan dengan pencawang elektrik menyambung elektrik yang dihasilkan ke grid nasional di bawah program 'Fit in Tariff' (FiT).

Katanya, ia adalah sebahagian daripada inisiatif di bawah Entry Point Project Number 5 - Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA-EPP5) yang mana kerajaan menyasarkan semua kilang sawit memasang kemudahan pemerangkapan biogas menjelang tahun 2020.

Beliau berkata, biogas itu digunakan sebagai sumber tenaga untuk menghasilkan tenaga elektrik untuk disalurkan ke grid nasional atau digunakan oleh kilang sawit untuk membakar biojisim.

"Setakat ini 79 kilang sawit sedang dalam proses memasang loji pemerangkapan biogas, manakala 12 sudah menyalurkan tenaga elektrik ke grid nasional," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian projek usaha sama loji pengeluaran komersial Bio-Compressed Natural Gas (BIO-CNG) pertama di dunia menggunakan sumber biogas sawit di kilang sawit Felda Palm Industries Sdn Bhd di Felda Sungai Tengi, Kuala Kubu Baru, Selangor hari ini.

Loji itu mampu memproses 600 m3/jam biogas mentah yang dijana daripada lagun pencerna biogas tertutup untuk menghasilkan Bio-CNG sebagai bahan api alternatif berasaskan fosil seperti gas petroleum cair (LPG) dan bahan api pertengahan (MFO).

Bahan api mesra alam itu akan dipasarkan oleb syarikat kerjasama Sime Darby-Gas Malaysia BioCNG Sdn Bhd (SD-GM JVCo) kepada OMi Alloy (M) Sdn Bhd di sini, hari ini.

Loji komersial Bio-CNG Kilang Sawit Felda Sg Tengi itu dengan keupayaan kapasiti 400 m3/jam mampu mengeluarkan 80,000 MMBtu Bio-CNG setahun, bermakna ia berupaya menyokong keperluan tenaga dua kilang yang masing-masing menggunakan 40,000 MMBtu setahun.

Berita Harian X