Isnin, 16 November 2015 | 6:09pm

MaGIC temukan 52 syarikat pemula dengan 200 pelabur

CYBERJAYA: Lebih 200 pelabur dari 20 negara termasuk Malaysia hadir bagi sesi 'pitching' 52 syarikat pemula ASEAN dari Cohort 1 yang menyertai Program Pemacu MaGIC (MAP).

Program itu anjuran Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) kini memasuki Hari Pembentangan atau ASEAN Startup Track (AS Track) adalah sesi terbesar membabitkan syarikat pemula di ASEAN.

Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Cheryl Yeoh, berkata sesi pembentangan itu penting kepada syarikat pemula mengetengahkan produk masing-masing bagi menarik minat pelabur menyuntik dana dalam syarikat berkenaan.

"MaGIC menyasarkan sekurang-kurangnya 20 peratus daripada syarikat pemula akan mendapat dana dari pelabur dalam tempoh enam bulan selepas sesi pembentangan ini," katanya kepada media selepas menyampaikan ucaptama sempena Hari Pembentangan AS Track di Cyberjay hari ini.

Antara syarikat perbankan, telekomunikasi dan logistik yang menyertai syarikat pelabur yang hadir ialah Maybank, CIMB Bank, Axiata, Digi, U Mobile, Pos Malaysia dan 500 Startups.

MAP adalah program pemacu MaGIC yang diinspirasikan dari model syarikat pemula Chile dan terbesar di Asia Tenggara. Program itu disasarkan untuk membangunkan komuniti syarikat pemula serantau dan membina komuniti Usahawan Sosial (SE).

Bagi AS Track, sebanyak 52 syarikat pemula yang dipecahkan kepada lima kategori iaitu e-dagang; kandungan dan media sosial; perisian sebagai satu perkhidmatan (SaaS); perkakasan; dan mudah alih diberi masa lima minit untuk membuat pembentangan.

Program tumpuan syarikat pemula Asia Tenggara turut mendapat pendedahan daripada mentor seperti Anthony Tan (GrabTaxi); Kai Kux (Asia Venture Group); Andrian Vanzyl (Ardent Capital); Tom Kosnik (Stanford University); Mark Chang (JobStreet); dan Azran Osman Rani (iFlix).

Cheryl berkata, MAP adalah platform terbaik untuk mengoptimumkan ekosistem serantau dengan lebih dekat terutama membabitkan aktiviti di mana pengasas bekerja, membangun, belajar dan bekerjasama.

"Kita yakin syarikat pemula yang menyertai MAP mampu pergi lebih jauh selepas menyertai program selama empat bulan ini bermula Julai lalu," katanya.

Berita Harian X