Jumaat, 4 Disember 2015 | 3:26pm

Lebihan dagangan bulan ke-216 pada Oktober

KUALA LUMPUR: Jumlah perdagangan Malaysia meningkat 8.2 peratus, tahun ke tahun kepada RM139.46 bilion pada Oktober 2015, hasil daripada pertumbuhan pesat eksport, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Eksport pada Oktober berkembang 16.7 peratus, pertumbuhan dua angka pertama bagi tahun ini, kepada RM75.81 bilion manakala import turun sedikit kepada RM63.65 bilion daripada RM63.90 bilion dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Lebihan perdagangan meningkat kepada RM12.16 bilion semasa bulan itu daripada RM1.08 bilion yang dicatatkan pada bulan yang sama tahun lalu, menjadikannya lebihan perdagangan ke-216 bulan berturut-turut sejak November 1997.

Eksport yang lebih kukuh disokong oleh permintaan tinggi daripada pasaran utama terutamanya ASEAN, Kesatuan Eropah, China dan Amerika Syarikat.

Bagi tempoh Januari-Oktober 2015, eksport terkumpul bernilai RM644.02 bilion berbanding RM634.47 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lalu manakala import berjumlah RM567.96 bilion berbanding RM571.88 bilion sebelumnya.

Lebihan perdagangan bagi tempoh 10 bulan pertama 2015 meningkat kepada RM76.07 bilion, naik 21.5 peratus daripada tempoh yang sama 2014.

Mengikut sektor, MITI berkata, eksport barangan pembuatan naik 22.2 peratus, tahun ke tahun, pada bulan tersebut, dipacu oleh eksport tinggi produk elektrik dan elektronik.

Eksport barangan pertanian meningkat 6.4 peratus kepada RM6.38 bilion berikutan eksport tinggi minyak sawit dan produk berkaitan sawit manakala eksport barangan perlombongan turun 7.6 peratus kepada RM8.05 bilion terjejas berikutan penurunan dalam eksport gas asli cecair dan petroleum mentah.

Eksport utama pada Oktober 2015 ialah produk elektrik dan elektronik bernilai RM26.24 bilion, naik 22.7 peratus, daripada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Eksport lain termasuk kimia dan produk kimia (RM5.29 bilion); produk petroleum (RM5.42 bilion); minyak sawit dan produk berasaskan sawit (RM4.45 bilion); dan gas asli cecair (RM4.56 bilion). - BERNAMA

Berita Harian X