Selasa, 15 Disember 2015 | 10:12am

MITI yakin persidangan menteri WTO ke-10 capai kejayaan

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yakin Persidangan Menteri-Menteri Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) ke-10 di Nairobi, Kenya, yang bermula hari ini akan mencapai kejayaan.

MITI dalam satu kenyataan, menyatakan persidangan itu dapat mencarta program kerja lebih konkrit bagi menghidupkan semula Agenda Pembangunan Doha.

Katanya, persidangan berkenaan akan mengkaji semula kerja WTO dan membolehkan menteri-menteri perdagangan menyediakan lagi bimbingan politik bagi rundingan yang dijalankan di bawah skop pertubuhan itu.

"Selain meraikan ulang tahun ke-20 WTO, persidangan itu adalah pencapaian penting bagi WTO untuk mengkaji semula isu pelaksanaan yang dipersetujui selepas persidangan sebelum ini.

"Ini termasuk keputusan berkaitan dengan kemajuan ekonomi anggota negara membangun, di samping mencarta program kerja WTO bagi 2016 dan tahun berikutnya," kata kementerian itu.

MITI berkata Malaysia akan menyertai Mesyuarat Menteri-Menteri Kumpulan Cairns dan Mesyuarat Perundingan Menteri-Menteri Bank Pembangunan Islam di luar Persidangan WTO.

Persidangan itu juga akan menerima secara rasmi kemasukan Liberia dan Afghanistan sebagai anggota baharu WTO, menjadikan jumlah keanggotaan semuanya 164.

Berita Harian X