Selasa, 15 Disember 2015 | 10:09pm

FGV memeterai MOU hasilkan plastik mesra alam

PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah (tengah) dalam majlis pemeteraian dan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) projek plastik mesra alam bersama Newlight Technologies dan Innogas Technologies. - Foto NSTP
PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah (tengah) dalam majlis pemeteraian dan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) projek plastik mesra alam bersama Newlight Technologies dan Innogas Technologies. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) memeterai perjanjian persefahaman (MOU) dengan Newlight Technologies LLC serta Innogas Technologies Sdn Bhd bagi menghasilkan plastik mesra alam daripada sisa biojisim minyak sawit di Malaysia.

"Projek biojisim yang lestari ini bertujuan mempelbagaikan dan seterusnya membangunkan aliran pendapatan syarikat yang baharu, sejajar dengan teras dalam strategi transformasi syarikat selama lima tahun bagi peningkatan hasil," kata FGV dalam satu kenyataan, hari ini.

Projek itu dijangka bermula pada suku kedua 2016 dengan pembinaan kilang pertamanya dilaksanakan pada suku keempat tahun depan dan dijangka siap selepas 14 bulan.

Kemudian ia akan diperluaskan kepada 10 kilang minyak sawit syarikat dalam lima tahun akan datang.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah, berkata sebagai sebahagian daripada komitmen FGV untuk kelestarian, ia sentiasa mencari cara inovatif bagi menguruskan sisa kelapa sawit dengan berkesan.

"Projek sisa kepada kekayaan akan meningkatkan standard kelestarian industri minyak sawit di Malaysia dan rantau ini secara keseluruhannya, sekali gus mengurangkan pelepasan karbon," katanya.

Mohd Emir berkata, MOU itu akan membawa teknologi kos efektif yang pertama di dunia bagi menghasilkan plastik mesra alam dengan memproses 100 peratus sisa bio daripada kilang minyak sawit FGV.

Newlight Technologies adalah syarikat yang berpangkalan di California, dan mahir dalam menghasilkan bahan termoplastik yang diperbuat daripada gas rumah hijau serta udara.

Innogas Technologies yang berpangkalan di Malaysia, terbabit dalam perniagaan perundingan, kejuruteraan loji memproses dan teknologi untuk bahan kimia serta tenaga yang boleh diperbaharui. - BERNAMA

Berita Harian X