Khamis, 17 Disember 2015 | 7:30am

KLIA dibentuk menjadi hab penerbangan utama serantau

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. - Foto Fariz Iswadi Ismail
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. - Foto Fariz Iswadi Ismail

SEPANG: Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) berhasrat menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai hab penerbangan utama serantau menerusi pelbagai rancangan membabitkan Bangunan Terminal Utama (MTB) KLIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Pengarah Urusannya, Datuk Badlisham Ghazali, berkata matlamat menjadikan KLIA sebagai hab penerbangan berikutan MTB KLIA dan klia2 bukanlah lapangan terbang yang beroperasi secara berasingan, sebaliknya berfungsi sebagai terminal.

Secara teknikal, kedua-dua terminal berkenaan sepatutnya dipanggil Terminal 1 KLIA dan Terminal 2 KLIA, malah MAHB mahu memastikan kedua-duanya bukan hanya bersambung secara fizikal, sebaliknya bersambung sebagai terminal.

"Ia memberikan pilihan kepada penumpang dan syarikat penerbangan. Jika kami memudah cara sambungan antara terminal, maka syarikat penerbangan boleh membuat penjimatan.

"Sekarang ini, jika penumpang menaiki kapal terbang tambang murah, mereka kena keluar dan kemudian masuk balik. Isu mengenai sambungan ini bukanlah di pihak kami, isunya adalah antara syarikat penerbangan," katanya dalam temubual bersama wartawan kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd di sini, baru-baru ini.

LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto NSTP
LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto NSTP

Rancangan menjadikan KLIA sebagai pusat sambungan antara penerbangan atau dipanggil interlink adalah sebahagian rancangan strategik MAHB menuju ke hadapan dalam usaha mencapai keseimbangan pertumbuhan mapan dari segi pendapatan serta trafik.

Mengulas lanjut mengenainya, Badlisham berkata MAHB mempunyai keupayaan untuk berbuat demikian dan bersedia menyiapkan infrastrukturnya, jika keperluan berbuat demikian muncul dalam tempoh masa terdekat ini.

Namun, beliau berkata, isunya turut membabitkan strategi semua syarikat penerbangan yang menjadi pelanggannya pada masa ini dan MAHB memerlukan persetujuan syarikat penerbangan berkenaan untuk membolehkan rancangan itu direalisasikan.

Dalam perkembangan berkaitan, Badlisham berkata MAHB merancang melakukan sedikit ubah suai kepada MTB yang sudah beroperasi selama 17 tahun sejak dibuka pada tahun 1998, bagi meningkatkan lagi pengalaman penumpang.

Malah, katanya di dalam pelan induk asal pembangunan KLIA, terdapat rancangan yang membolehkan MAHB menimbang memperbesarkan MTB dengan membuka lebih banyak satelit di terminal berkenaan.

"Sekarang ini, penyewa utama MTB adalah Malaysia Airlines (MAS). Dengan pengumumannya yang baharu, kami perlu membuat penyusunan semula," katanya.

Sementara itu, Badlisham berkata Lapangan Terbang Sabiha Gokcen di Turki yang kini menjadi milik penuhnya, mula memberi sumbangan kepada pendapatan MAHB bermula pada tahun ini.

"Sabiha Gokcen akan benar-benar membantu kami kerana pertumbuhan ekonomi banyak berlaku di bahagian Asia. Turki sudah menyediakan pelbagai infrastruktur untuk menghubungkan bahagian Timur dengan Asia dan Eropah," katanya.

Berita Harian X