Isnin, 21 Disember 2015 | 11:40am

Saham Asia dalam dagangan lembap

SYDNEY: Pasaran saham Asia memulakan dagangan lembap hari ini berikutan prestasi kurang memberangsangkan di Wall Street meskipun kerugian terhad kepada minat belian yang kurang dalam minggu cuti yang panjang.

Indeks meluas MSCI Asia Pasifik luar Jepun tidak berubah, manakala indeks utama Australia susut 0.2 peratus, Indeks Nikkei Jepun merosot 0.9 peratus.

Pasaran terjejas pada dagangan lewat Jumaat lalu selepas Bank of Japan (BoJ) mengumumkan beberapa perubahan kepada program rangsangan besar-besaran tetapi tidak meningkatkan jumlah bersih aset yang akan dibeli, sekali gus mengecewakan mereka yang mengharapkan langkah yang lebih agresif.

Situasi itu mendorong yen meningkat dan menyebabkan beberapa perubahan mendadak berbanding dolar Amerika Syarikat (AS). Pada awal dagangan hari ini, dolar AS jatuh ke paras 121.30 yen selepas secara ringkas mencecah paras tinggi pada 123.58 Jumaat lalu.

Euro tidak berubah dengan berada pada paras AS$1.0863, sementara dolar AS mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama lain di tengah-tengah dagangan yang sedikit.

Wall Street juga mengakhiri dagangan mingguannya dengan stok dan kontrak opsyen indeks menjana jumlah dagangan yang tinggi.

Indeks Dow ditutup pada Jumaat lalu dengan 2.1 peratus lebih rendah manakala Indeks S&P 500 susut 1.78 peratus dan Indeks Nasdaq 1.59 peratus.

Bagi minggu lalu, Indeks Dow jatuh 0.8 peratus, S&P 500 0.3 peratus dan Nasdaq 0.2 peratus.

Pengaliran keluar daripada saham adalah baik untuk bon. Perbendaharaan yang bertempoh lebih panjang menjadi popular kerana pelabur menjangkakan Rizab Persekutuan AS (Fed) berada terkehadapan dalam keluk inflasi selepas kenaikan kadar faedah pada minggu lalu.

Persekitaran global juga menunjukkan keadaan yang tidak mendorong kepada inflasi dengan kelemahan harga minyak dan komoditi lain.

Jangkaan inflasi bagi tempoh lima tahun akan datang mencatatkan penurunan ketara bulan ini, jatuh ke paras 2.11 peratus berbanding paras tinggi 2.24 peratus.

Lebihan bekalan global menjadikan harga minyak mentah Brent dan AS jatuh sekitar 35 peratus untuk tahun ini setakat ini.

Brent berada pada paras AS$36.53 setong dan mencecah paras rendah dalam tempoh tujuh tahun di paras AS$36.32. - Reuters

Berita Harian X